KETUA Eksekutif BSN, Jay Khairil
KETUA Eksekutif BSN, Jay Khairil

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama memperkasa sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui Geran Digital PMKS Madani (GDPM).

GDPM adalah program geran padanan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) melalui Belanjawan 2023.

Matlamat utama inisiatif ini adalah untuk memberi sokongan kepada PMKS serta penjaja kecil dalam meningkatkan penggunaan digital dalam operasi perniagaan harian mereka.

Dengan suntikan dana RM100 juta daripada kerajaan, inisiatif ini akan ditujukan terutamanya ke arah memupuk penggunaan digitalisasi dalam kalangan PMKS dan penjaja kecil.

Melalui kerjasama MCMC dan MDEC, permohonan GDPM dapat diakses secara dalam talian dengan sokongan daripada Funding Societies Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Mengulas mengenai inisiatif GDPM, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, BSN akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi dan agenda kerajaan dengan menyediakan bantuan menyeluruh kepada PMKS.

"Kami akan sentiasa mengambil bahagian secara aktif dalam merealisasikan inisiatif ini di samping kekal komited dengan visi kami 'Tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan,' bagi memastikan akses penting kepada keterangkuman kewangan untuk semua rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Katanya, usaha ini adalah satu langkah yang baik ke arah meningkatkan kualiti perniagaan bagi setiap PMKS dan penjaja kecil dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan mereka ke arah model perniagaan digital.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk membawa lebih banyak penyenaraian syarikat seterusnya melahirkan 'unicorn' tempatan baharu di bawah kerangka Ekonomi Madani," katanya.

Geran berkenaan merangkumi tujuh bidang digitalisasi dikenali sebagai 'Skop Projek Digitalisasi.'

Bidang-bidang ini disusun untuk memenuhi keperluan pelbagai aspek PMKS dan penjaja kecil merangkumi aspek penting seperti pemasaran digital, penyelesaian pembayaran digital, tempat jualan elektronik (e-POS), sistem penggajian sumber manusia, perancangan sumber perusahaan, tandatangan digital, keselamatan siber dan Internet Benda (IoT).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 7:05 AM