Gambar hiasan
Gambar hiasan
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengenakan kawal selia kandungan digital lebih ketat dalam usaha menangani masalah kemudaratan dalam talian.

Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, pihaknya akan mengkaji semula kerangka kawal selia sedia ada, susulan peningkatan tahap kandungan yang dieksploitasi oleh penjenayah dan mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keselamatan awam dan negara.

Katanya, pihaknya mendapati beberapa aplikasi Over-The-Top (OTT) dan platform media sosial yang dilihat gagal mengawal selia penggunaan platform mereka selaras kepentingan nasional dan perundangan negara.

"MCMC tidak akan berkompromi dengan perbuatan menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian ataupun kemudahan dalam talian untuk tujuan scam, aktiviti siber yang berniat jahat, penipuan, phishing, kandungan yang menggugat kestabilan dan keharmonian kaum serta penghinaan terhadap institusi Diraja.

"Justeru, tindakan kawal selia yang lebih ketat dan campur tangan oleh pihak pengawal selia adalah diperlukan bagi melindungi kepentingan pengguna dan orang awam. Kami akan bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Salim berkata, sebagai ahli dalam Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bersama-sama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), pihaknya juga tekad meneruskan usaha bersama dalam memerangi aktiviti penipuan menerusi tindakan tegas.

Kebimbangan berkenaan berbangkit selepas hasil pemerhatian mendapati, jumlah kes penipuan menunjukkan peningkatan.

Sejak penubuhan NSRC pada Oktober 2022, sejumlah 11,858 aduan yang berkaitan dengan penipuan diterima setakat April 2023.

Sementara itu, perangkaan diperoleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM bagi tempoh antara 2021 sehingga April 2023 mendedahkan, jumlah kerugian akibat scam mencecah sehingga RM1.2 bilion.

Bagi tempoh sama juga, jumlah berita palsu yang dilaporkan kepada MCMC adalah sebanyak 2,125 kes.

Justeru katanya, selepas meneliti bilangan kes penyalahgunaan dan ancaman yang ditimbulkan akibat sikap lepas tangan oleh penyedia platform, MCMC berpendapat, ada keperluan mengenakan serta menguatkuasakan kewajipan terhadap mereka yang mengendalikan platform sedemikian.

Tindakan juga kepada pihak yang mendapat manfaat daripada digitalisasi supaya mengambil langkah tegas bagi memastikan platform atau rangkaian kendalian mereka tidak digunakan sebagai forum yang melanggar undang-undang negara ataupun mengancam kepentingan awam.

"Pihak pengawal selia dan rakan industri di Singapura, Vietnam dan Indonesia baru-baru ini sudah atau dalam proses untuk menggubal undang-undang bagi tujuan mengawal selia serta menjenayahkan aktiviti penipuan dalam

sesetengah platform yang dimaksudkan.

"Selain mempertanggungjawabkan platform yang gagal mematuhi arahan dikeluarkan oleh Kerajaan dengan membenarkan aktiviti berniat jahat seperti penipuan pengiklanan dalam platform mereka atau tidak mengambil langkah yang secukupnya dalam mengekang aktiviti sedemikian," katanya.

Beliau berkata, MCMC sebagai badan kawal selia industri tertumpu di Malaysia, akan turut mengkaji semula pendekatan kawal selia untuk melaksanakan tahap pengawasan yang lebih tinggi menerusi instrumen perundangan sedia ada.

Menurutnya, ia termasuk kajian semula ke atas pengecualian terhadap sesetengah aktiviti, selain mengenakan sekatan jenayah dan arahan punitif terhadap entiti yang enggan mengambil langkah segera bagi memastikan aktiviti jenayah yang berlaku dalam rangkaian atau platform mereka dihentikan.

Katanya, tindakan bersama dan usaha yang diambil oleh MCMC adalah penting dalam memastikan masyarakat dilindungi dan mempunyai satu persekitaran yang selamat dalam alam digital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 5:21 PM