Oleh Aizat Sharif


Kangar: Sekitar 1,000 umat Islam menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin dan mengutuk penindasan kejam dilakukan rejim Zionis yang diadakan selepas solat Jumaat di Dataran Masjid Alwi di sini hari ini.

Himpunan Aman Solidariti Bersama Rakyat Palestin anjuran Badan Perhubungan Pas Perlis itu mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda sokongan dan memijak bendera Israel sebagai simbol kemarahan dan bantahan terhadap tindakan yang dilakukan.

Hadis sama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin. Turut hadir Ketua Pemuda Pas Perlis merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri, Haziq Asyraf Dun serta barisan EXCO negeri beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dalam ucapannya, Mohd Shukri menggesa negara Islam bersatu dalam menyelamatkan Palestin daripada terus menjadi mangsa kezaliman rejim zionis Israel.

Katanya, tanggungjawab menghentikan penindasan yang berlaku di Gaza itu adalah tanggungjawab bersama umat Islam di seluruh dunia.

"Kita mahu melihat supaya tanah Palestin dan masjid suci ketiga umat Islam (Masjidil Aqsa) dikembalikan semula kepada Palestin.

"Dalam masa yang sama juga, kita menyeru agar umat Islam di seluruh dunia bersatu dalam hal ini dan tidak lagi berdolak dalik serta gundah gulana dalam menyatakan sokongan pada Palestin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 3:57 PM
Kira-kira 1,000 umat Islam dari seluruh Perlis berkumpul di Dataran Masjid Alwi, Kangar menunjukkan tanda sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin serta mengutuk tindakan Israel. FOTO AIZAT SHARIF
Kira-kira 1,000 umat Islam dari seluruh Perlis berkumpul di Dataran Masjid Alwi, Kangar menunjukkan tanda sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin serta mengutuk tindakan Israel. FOTO AIZAT SHARIF