PENUNJUK perasaan mengibarkan bendera Palestin ketika berhimpun di Karameh berdekatan sempadan Palestin - Jordan pada 14 Mei lalu. 2021. FOTO Agensi
PENUNJUK perasaan mengibarkan bendera Palestin ketika berhimpun di Karameh berdekatan sempadan Palestin - Jordan pada 14 Mei lalu. 2021. FOTO Agensi
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pas menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin dengan sasaran bantuan minimum RM1 juta.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kutipan dana melalui kaedah 'crowdfunding' itu akan disalurkan terus ke bumi Palestin.

Katanya, ia selaras dengan pendirian tegas Pas mengecam keras serangan biadab regim Zionis Israel terhadap umat Islam di Masjid Al-Aqsa yang mengakibatkan kematian dan kecederaan serta kemusnahan teruk.

"Tindakan segera ini diambil melalui Lajnah Antarabangsa Pas Pusat dan dikendalikan oleh NGO Pas, iaitu PASRelief.

"Sehubungan itu, arahan rasmi sudah dikeluarkan kepada semua Badan Perhubungan Pas negerii dan Wilayah Persekutuan, kawasan, cawangan serta ahli dan penyokong Pas agar mengambil perhatian segera.

"Semua peringkat parti wajib menggerakkan Kempen Kutipan #Aid4Palestine dengan segala kutipan sumbangan di bawah seliaan Pas disalurkan terus ke akaun: Tabung Kemanusiaan Pas RELIEF 5640 7061 4481 (Maybank)," katanya dalam satu kenyataan.

Takiyuddin berkata, maklumat sumbangan dengan rujukan Aid4Palestine boleh dihantar melalui Whatsapp di talian hotline PASRelief: 011-2077 5802 atau 013-384 5555.

Menurutnya, setiap premis milik Pas diwajibkan menaikkan bendera Palestin sebagai tanda sokongan dan kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan dan hak Palestin manakala premis lain digalakkan berbuat demikian.

"Justeru Pas mengharapkan kempen kesedaran dan kutipan dana ini akan mendapat sambutan rakyat Malaysia atas dasar solidariti kemanusiaan serta tentangan terhadap dasar ganas dan kejam rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 10:37 AM