ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO Bernama
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Malaysia menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dunia Islam serta badan antarabangsa mengambil tindakan tegas menghentikan kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Israel terhadap Palestin tidak berperikemanusiaan, malah mencabuli hak rakyat negara Islam itu.

Menurutnya, tindakan Zionis itu menyaksikan banyak nyawa tidak berdosa termasuk kanak-kanak menjadi korban.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan tanpa perikemanusiaan rejim Zionis Israel ke atas bumi Palestin khususnya di Masjid al-Aqsa yang dibuat beberapa hari menjelang 1 Syawal.

"Ini bukan kali pertama Israel menyerang Palestin ketika umat Islam berada dalam fasa terakhir Ramadan dan sedang bersiap bagi menyambut ketibaan Aidilfitri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, umat Islam di Malaysia diseru untuk bermunajat kepada Allah SWT untuk kesejahteraan umat Islam di Palestin dan bersama-sama meneruskan bantahan sebagai solidariti kepada saudara kita di bumi al-Quds.

Katanya, isu Palestin adalah melangkaui isu umat Islam dan ini isu kemanusiaan sejagat yang perlu diberi perhatian dunia.

"Kesengsaraan dan penderitaan umat Islam di bumi Palestin perlu dihentikan," katanya.

Setakat 10 pagi tadi, 69 orang awam Palestin terbunuh dalam tindakan agresif zionis di Semenanjung Gaza.

Mangsa yang syahid termasuk 17 kanak-kanak, tujuh wanita dan warga emas selain 388 orang awam dilaporkan cedera.

Serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin dan jemaah di Masjid Al-Aqsa turut menyebabkan kematian dan kecederaan bermula Jumaat lalu turut mendapat tentangan dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 5:09 PM