Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau keadaan Sungai Masai yang didapati bewarna hitam. Gambar ihsan JAS
Pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau keadaan Sungai Masai yang didapati bewarna hitam. Gambar ihsan JAS
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan siasatan berhubung aduan orang ramai terhadap pencemaran Sungai Masai di sini, yang didapati berwarna kehitaman, petang kelmarin.

JAS Johor Cawangan Pasir Gudang dalam kenyataannya hari ini berkata, pemeriksaan ke atas beberapa loji kumbahan berhampiran dijalankan bagi memastikan tiada pelepasan abnormal yang boleh mencemarkan sungai itu.

Katanya, pasukan penyiasat mengenal pasti antara potensi pencemaran dari masalah saluran air sullage (endapan keladak) yang tidak terurus dari kawasan perumahan Flat Meranti, Masai.

"Ia mengalir masuk ke longkang dan seterusnya ke Sungai Masai. Susulan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan pemeriksaan bagi mengambil tindakan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan," katanya menerusi hantaran di Facebook (fb), hari ini.

Sementara itu, Ketua Komuniti Flat Meranti Taman Rinting, Wadhumar Jamaail, 39, berkata, pihaknya kurang pasti sama ada pencemaran Sungai Masai berpunca daripada air sisa basuhan daripada kawasan kediaman berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui hampir 1,500 penduduk di kawasan berkenaan kerap diganggu masalah pencemaran bau terutama selepas hujan.

"Ada juga masalah air melimpah keluar dari saluran pembentung dan sehingga kini masalah berkenaan masih belum diatasi.

"Ramai penduduk di flat ini yang membabitkan penyewa gagal membayar yuran penyelenggaraan bulanan mengakibatkan syarikat pengurusan flat tidak dapat mengambil tindakan sesuai.

"Kami pernah mengadu permasalahan berkenaan kepada PBT sebelum ini. Kami berharap ada agensi berkaitan yang membantu mengatasi permasalahan berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 4:44 PM