Foto hiasan
Foto hiasan
Samadi Ahmad

Putrajaya: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil sampel air di Sungai Kapok, Kampung Perigi Acheh di Pasir Gudang di Johor yang didakwa bertukar warna hitam dan berbau busuk.

Menteri Alam Sekitar dan Air (Kasa) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persampelan air Sungai Kapok di Jeti Nelayan Kampung Perigi Acheh dibuat semalam pada 3.30 petang semalam bagi mengukur kualiti air sungai berkenaan.

Menurutnya, siasatan JAS mendapati bacaan bagi parameter Oksigen Terlarut (DO) adalah 5.21 dan pH 8.3 iaitu julat normal.

Katanya, semasa pengukuran diadakan keadaan air sungai sedang pasang dan tidak kesan bau serta kelihatan normal.

"JAS juga menyelusuri Sungai Daeng dan pengukuran menunjukkan bacaan DO4.19 dan pH 10.16," katanya yang dikongsi di akaun Facebooknya.

Semalam, KASA mengarahkan JAS Cawangan Pasir Gudang menjalankan siasatan sungai di Kampung Perigi Aceh, Pasir Gudang selepas menerima aduan dari individu yang memaklumkan perkara itu melalui akaun Facebook milik Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim berkata, lokasi pengukuran ini berada di hilir kawasan perindustrian Tanjung Langsat.

Menurutnya, rondaan pemantauan pencemaran di kawasan perindustrian turut diadakan dan mendapati tiada pelepasan efluen abnormal.

Katanya, aset dron juga digunakan ketika JAS mengadakan pemeriksaan bagi membantu mengenal pasti punca pencemaran.

"Pemantauan dan pengukuran In situ akan diteruskan dan disambung hari ini," katanya.

Sebelum ini, media pernah melaporkan air di Sungai Kapok dan Sungai Daeng di kawasan Kampung Perigi Acheh bertukar menjadi hitam dan berbau busuk akibat tercemar.

Situasi ini mencetuskan kebimbangan kepada nelayan di kawasan kampung itu sehingga hilang mata pencarian apabila hidupan akuatik di situ semakin pupus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 11:11 AM