RAHMAN hadir pada pengebumian Allahyarhamah Muhaini di Tanah Perkuburan lslam Jalan Ampang. FOTO Genes Gulitah
RAHMAN hadir pada pengebumian Allahyarhamah Muhaini di Tanah Perkuburan lslam Jalan Ampang. FOTO Genes Gulitah
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Peserta wanita kejohanan triathlon, Ironman Langkawi Malaysia, Muhaini Mahmud, sudah kerap menyertai kejohanan triathlon sejak beberapa tahun lalu.

Bekas suaminya, Rahman Husin berkata, Muhaini, 44, aktif bersukan seperti renang dan berbasikal sejak tiga tahun lalu.

"Arwah memang kerap menyertai triathlon sejak beberapa tahun lalu. Namun bagi kejohanan Ironman, saya tidak tahu adakah ini penyertaannya yang pertama atau sebaliknya.

"Sepanjang tempoh aktif menyertai triathlon, dia sering menjalani latihan dan tidak berdepan masalah kesihatan," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Meskipun sudah berpisah, Rahman berkata, hubungan dengan bekas isterinya itu sentiasa baik dan mereka kerap berhubung bagi berbincang pelbagai perkara terutama mengenai anak, Mateen Malik yang berusia tujuh tahun.

"Kami kerap berhubung dan kali terakhir saya berhubung dengannya pada Jumaat lalu. Apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu, saya panik dan terkejut.

"Bagi saya, arwah adalah seorang yang baik hati, ibu yang baik, selalu mengutamakan anak serta keluarga dan tidak pernah ragu-ragu untuk membantu rakan-rakan.

"Saya sudah memaklumkan mengenai pemergian arwah kepada anak dan dia memahami ibunya sudah tiada," katanya. Jenazah Muhaini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini, jam 2.30 petang .

Terdahulu, van membawa jenazah Muhaini tiba di perkarangan tanah perkuburan itu jam 1.53 tengah hari. Kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan Allahyarhamah termasuk beberapa selebriti popular hadir di tanah perkuburan berkenaan.

Antaranya, Nora Danish bersama suami, Nedim Nazri Aziz; Datuk Jovian Mandagie serta isteri, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri dan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Semalam, Muhaini dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi, Kedah.

Allahyarhamah yang juga Pengasas bersama platform penyediaan perkhidmatan penjagaan bayi, Kiddocare Sdn Bhd dikejarkan ke HSM selepas hampir lemas ketika disiplin renang.

Berita kematian Muhaini dikongsi rakannya juga anak kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, iaitu Datuk Nurulhidayah di laman Facebook beliau, semalam.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang peserta wanita kejohanan triathlon, Ironman Langkawi Malaysia yang diselamatkan dalam kejadian hampir lemas Sabtu lalu, berada dalam keadaan kritikal di HSM.

Berita berkaitan: Muhaini, peserta Ironman meninggal dunia

Peserta Ironman Langkawi kritikal

2 peserta Ironman masih dirawat di ICU

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 4:05 PM