MOHD Zulkifly (dua dari kiri) mengetuai sesi latihan kayuhan basikal.
MOHD Zulkifly (dua dari kiri) mengetuai sesi latihan kayuhan basikal.
Aniza Zainudin

PENYERTAAN Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi pada hujung minggu lalu adalah tahun kelima Kelab Triathlon Chap Ayam (CAT) menghantar wakilnya bagi memeriahkan lagi acara.

Ironman Malaysia yang diperkenalkan sejak 2000 ini menerima beberapa pengiktirafan termasuk ‘Athlete Choice Awards for Overall Swim Experience’ dan ‘Best Triathlon Races in Asia’ oleh AsiaTri.com, tahun lalu.

Penganjuran Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi kali ini juga berjaya mengumpulkan 2,500 atlet berdaftar.

Acara triathlon ini bermula di pantai Kok menuju kawasan berbukit Datai sebelum berakhir di garisan penamat, pantai Cenang.

Peserta yang juga atlet CAT, Amir Hamzah Hashim, 37, berkata, bagi mencipta rekod peribadi latihan awal dilakukan sebagai persediaan.

“Kelab ini ditubuhkan pada pertengahan 2013 bagi mengumpulkan peminat sukan ini.

WAKIL CAT yang menyertai Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi, baru-baru ini.
WAKIL CAT yang menyertai Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi, baru-baru ini.

“Sebagai persediaan awal, kami sering melakukan latihan berjadual termasuk kayuhan panjang melebihi 100 kilometer setiap minggu, latihan renang dan larian jarak jauh pada sebelah malam.

“Selain itu, kami kerap melakukan sesi simulasi di Port Dickson bagi menyesuaikan diri dengan acara renang di laut.

“Selalunya Ironman dianjurkan pada November, tetapi kali ini ia diadakan pada Oktober, jadi cabarannya lebih tertumpu pada cuaca panas serta hujan.

“Ironman satu acara sukan berprestij yang mengumpulkan atlet triathlon dari seluruh negara.

“Malaysia atau lebih spesifik, Langkawi sering menjadi tumpuan kerana kita adalah negara tropika dan lokasi penutup acara ini,” katanya yang menyasarkan tempoh enam jam untuk menamatkan acara bagi Ironman 70.3 Langkawi, baru-baru ini.

DI garisan penamat Ironman Langkawi 70.3.
DI garisan penamat Ironman Langkawi 70.3.

Sementara itu, Presiden CAT, Mohd Zulkifly Abu Bakar mengakui acara ini antara penyumbang terbesar kedatangan pelancong ke Kedah, khususnya Langkawi.

Katanya, kebiasaannya ramai peserta dari luar negara menyertai Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi mencatatkan kunjungan lebih 1,000 orang kerana faktor laluan kawasan berbukit dan cuaca panas.

Impak sukan ini memberi kelebihan dan pulangan pendapatan serta promosi kepada negara secara langsung.

Kata Mohd Zulkifly, sukan Ironman boleh melatih seseorang untuk menjadi individu yang berdisiplin, mampu mengawal emosi ketika berada dalam keadaan tertentu serta bertanggungjawab.

Pernah menyertai empat acara Ironman, beliau mengakui tip penting untuk berjaya dalam sukan ini bermula daripada keluarga yang memberi sokongan padu kerana latihannya memerlukan masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 12:05 PM