SEBAHAGIAN daripada 12 perenang dan pendayung kayak mengharungi arus kuat dalam keadaan ribut sejauh 5.1 kilometer dari Pantai Chenang ke Pulau Tepor sebelum kembali semula ke lokasi permulaan. FOTO BERNAMA
SEBAHAGIAN daripada 12 perenang dan pendayung kayak mengharungi arus kuat dalam keadaan ribut sejauh 5.1 kilometer dari Pantai Chenang ke Pulau Tepor sebelum kembali semula ke lokasi permulaan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

DEMI membawa mesej merdeka dan solidariti kepada wira barisan hadapan negara, 12 perenang dan dua pendayung kayak mengharungi jarak sejauh 5.1 kilometer (km) dalam cabaran 'Renang Merdeka' dari Pantai Chenang ke Pulau Tepor sebelum kembali semula ke lokasi permulaan di Langkawi, hari ini.

Meskipun terpaksa mengharungi arus kuat dan keadaan cuaca sejuk dan ribut, ia tidak melemahkan peserta berusia 20 hingga 53 tahun itu meredah lautan selama lebih dua 2 jam, seawal 8 pagi tadi semata-mata demi menzahirkan penghargaan buat wira negara yang berjuang menyekat penularan pandemik Covid-19.

Lebih menarik, jarak Renang Merdeka itu lebih jauh berbanding jarak Kejohanan Ironman Langkawi (3.8 km) sekali gus suatu pengalaman baharu buat semua peserta yang sememangnya aktif menyertai kejohanan triathlon berprestij di peringkat antarabangsa terbabit.

Bagi seorang juru-X-ray Klinik Kesihatan Padang Matsirat, Muhd Hafiz Md Yusup, 33, yang juga pencetus kepada idea terbabit, berkata aktiviti renang itu dirancang kurang seminggu dan terus mendapat sokongan rakan-rakan yang sememangnya aktif menyertai Ironman Langkawi.

"Renang Merdeka kali ini, kami bawa mesej solidariti buat wira-wira negara… malah renangan tadi turut disertai empat petugas kesihatan yang berkhidmat di Langkawi," kata Muhd Hafiz yang juga peserta kedua terbaik Malaysia dalam saingan Ironman Langkawi 2019, kepada Bernama, hari ini.

Acara renang berkenaan bermula 8 pagi itu berjaya ditamatkan dalam tempoh dua jam 30 minit.

Sementara itu, bagi Bakar Wahid, 50, 'guru' renang kepada atlet kejohanan Ironman Langkawi yang aktif menyertai kejohanan Ironman Langkawi berkata, mereka berdepan cabaran agak getir kerana keadaan laut bergelora, ribut dan hujan.

"Alhamdulillah, kami berjaya menamatkan aktiviti hari ini dengan jayanya, lagipun rata-rata yang terlibat ini mempunyai pengalaman berenang di luat dan perairan terbuka," katanya yang pernah lima kali menyertai kejohanan Ironman Langkawi.

Aktiviti berkenaan turut diiringi dua buah bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi bersama 10 anggota bagi tujuan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 4:34 PM