GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Hamzah Osman


Langkawi: Peserta wanita kejohanan triathlon, Ironman Langkawi Malaysia yang diselamatkan selepas hampir lemas pagi tadi, dalam keadaan kritikal di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini.

Mangsa dikenali sebagai Muhaini Mahmud dari Kuala Lumpur, berdasarkan hantaran di akaun Facebook anak saudaranya, Nafisah Hani kira-kira 8 malam ini.

Menerusi hantaran itu, Nafisah merayu rakan-rakan mendoakan Muhaini yang kini berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSM.

Pada masa sama, semakan pada akaun media sosial Muhaini mendapati dia adalah pengasas bersama Kiddocaremy dan bekas Pengarah Hal Ehwal Korporat di Weststar Group.

Awal hari ini, Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tiga peserta Ironman Langkawi membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berdepan kesulitan kesihatan ketika mengambil bahagian dalam disiplin renang di Pantai Kok.

Beliau dilaporkan berkata, seorang peserta wanita dikejarkan ke HSM, manakala masing-masing seorang peserta dan penonton lelaki yang keletihan dan cedera ringan menerima rawatan di lokasi kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 11:19 PM