PATI yang ditemui dalam tangki air. FOTO Zaid Salim
PATI yang ditemui dalam tangki air. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


DUA pendatang asing tanpa izin (PATI) berpura-pura tidur di dalam tangki air loteng rumah dua tingkat yang masih dalam pembinaan di Kampung Cerang Guling, Marang semalam ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu.

PATI berusia 30-an itu menjadikan tangki berkenaan sebagai tempat persembunyian bagi mengelak dicekup imigresen yang melakukan serbuan di tapak pembinaan itu 3 petang.

Bagaimanapun, taktik PATI terbabit terbongkar selepas anggota jabatan berkenaan curiga dengan isi kandungan tangki itu ketika menjalankan pemeriksaan.

Pengarah JIM Terengganu Rahim Hanafi berkata, anggota sebelum itu menjolok penutup tangki itu menggunakan kayu namun tidak terangkat sebelum bertindak memanjat loteng.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki Bangladesh yang berpura-pura tidur dalam tangki itu.

“Kita turut menemui seorang lagi lelaki Bangladesh bersembunyi dalam tangki berasingan dan kedua-duanya ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri.

“Pekerja asing yang tinggal secara haram ini akan melakukan apa saja helah bagi mengelak ditahan.

“Selain menjadikan tangki air sebagai tempat bersembunyi, ada PATI sanggup menggadai nyawa dan keselamatan seperti terjun dari bangunan, meredah paya, parit dan belukar selain ada yang nekad bersembunyi dalam semak tanpa mengira siang atau malam.

“Bagaimanapun, saya sentiasa menasihatkan anggota dan pegawai supaya sentiasa menjaga keselamatan diri ketika menjalankan operasi,” katanya.

Rahim berkata, Ops Bersepadu yang diketuai Ketua Bahagian Penguat kuasa JIM Terengganu, Ahmad Salihin Salleh dijalankan susulan aduan awam berhubung kehadiran pekerja warga asing di kawasan berkenaan.

Katanya, tujuh PATI membabitkan lima warga Bangladesh dan dua lelaki warga Indonesia berusia antara 30 hingga 40 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan di tapak pembinaan Kampung Cerang Guling, pihaknya berjaya menahan tujuh PATI membabitkan lima warga Bangladesh dan dua lelaki warga Indonesia berusia antara 30 hingga 40 tahun.

Katanya, mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Tujuh PATI terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 5:50 PM