ANTARA PATI yang cuba melarikan diri ketika serbuan. FOTO Sairien Nafis
ANTARA PATI yang cuba melarikan diri ketika serbuan. FOTO Sairien Nafis
Mohd Azam Shah Yaacob


TERKEJUT kehadiran pihak berkuasa, beberapa warga asing yang bekerja secara haram di kawasan tapak semaian berhampiran Plaza Tol Sungai Buloh, Sungai Buloh, nekad lari ke dalam kawasan belukar serta terjun ke dalam sungai.

Malah, dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bermula 10 pagi itu, ada antara mereka turut cuba menumbuk penguat kuasa Imigresen selain berpura-pura pengsan dalam cubaan untuk melepaskan diri daripada ditahan.

Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan serbuan berjaya menahan seramai 32 warga Indonesia yang tinggal dan bekerja secara haram di negara ini biarpun ada antaranya berjaya meloloskan diri.

Ketua Operasi JIM Selangor Mohamad Rahmat Abdul Manap, warga asing yang ditahan itu membabitkan 27 lelaki dan lima kanak-kanak berusia satu tahun hingga 60 tahun.

Katanya, jumlah yang ditahan itu membabitkan 12 lelaki serta 15 wanita, manakala kanak-kanak pula membabitkan tiga lelaki dan dua perempuan.

“Operasi di tapak semaian itu kali pertama dijalankan selepas pemantauan serta risikan dijalankan selama lebih satu minggu mendapati terdapat ramai warga asing bekerja di situ secara haram.

“Malah, tapak semaian di beberapa kebun itu memang sangat luas dan mempunyai banyak laluan seperti sungai, belukar serta kawasan hutan untuk mereka meloloskan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati kebanyakan PATI berkenaan sudah bekerja secara haram di situ sejak enam bulan lalu.

Katanya, tapak semaian terdiri daripada beberapa kebun itu dipercayai milik warga tempatan dan JIM Selangor akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan mereka berikutan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi serta menggajikan warga asing.

“Kesemua warga asing terbabit pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal secara haram dan tinggal lebih masa di negara ini.

“Mereka akan ditempatkan di Depot Tahanan Semenyih sebaik selesai proses siasatan di Ibu Pejabat Imigresen Selangor di Shah Alam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 3:11 PM