KUALA LUMPUR 12 MAC 2021. Orang ramai berurusan di kaunter PTPTN di Menara PTPTN. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
KUALA LUMPUR 12 MAC 2021. Orang ramai berurusan di kaunter PTPTN di Menara PTPTN. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak berhasrat meneruskan pemberian diskaun untuk pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu tertakluk kepada Kementerian Kewangan.

"Setakat ini, kita sudah tidak lagi meneruskan (pemberian diskaun PTPTN) itu.

"Namun, apa-apa pun mengenai hal itu, ia tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada peminjam PTPTN kemungkinan mendapat khabar gembira daripada pembentangan Bajet 2024 pada 13 Oktober ini.

Pada pembentangan Bajet 2023, Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pemberian diskaun kepada peminjam PTPTN bermula 1 Mac hingga 31 Mei lalu.

Antara insentif pembayaran semula untuk peminjam ialah diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh dan diskaun 15 peratus bagi sekurang-kurangnya separuh jumlah pinjaman.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berharap kerajaan dapat menyokong permohonan KPT untuk menerap dan mengaplikasikan pendigitalan dalam menjayakan, mengurus serta mentadbir ekosistem pendidikan tinggi negara.

"Kedua ialah penekanan kita dalam soal penyelidikan dan inovasi kerana kita percaya ia mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan ketiga ialah soal kediaman kondusif untuk pelajar," katanya.

Ditanya mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat dan memberi kesan kepada pelajar, Mohamed Khaled sekadar memberi jaminan kadar yuran pengajian tidak akan dinaikkan.

"Saya suka nyatakan dari segi KPT, kita tidak menyumbang kepada kenaikan kos, kita akan pastikan yuran (pengajian) berada pada tahap yang sama, tak ada niat untuk menaikkannya.

"Namun, (bercakap) soal (kos) makanan itu, semua orang pun (terkesan)," katanya.

Mengenai situasi jerebu yang melanda negara, Mohamed Khaled menasihati semua pelajar supaya mengurangkan aktiviti di luar kampus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 5:58 PM