MEMBAYAR balik pinjaman PTPTN adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap peminjam.
MEMBAYAR balik pinjaman PTPTN adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap peminjam.
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Hanya berbaki lima hari saja lagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpeluang menikmati insentif diskaun pembayaran balik pinjaman seperti yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2024, 14 Oktober tahun lalu.

Menerusi pembentangan itu, kerajaan bersetuju pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman sehingga 15 peratus yang akan berakhir pada 31 Mac ini.

Pemberian insentif itu meliputi tiga kategori iaitu diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran, dan diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

Oleh itu, peminjam diseru merebut peluang keemasan ini dan menyelesaikan bayaran balik sebelum atau pada 31 Mac ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata sebagai sebuah kerajaan Malaysia Madani yang bersifat ihsan, peduli, berkasih sayang dan merasai keperitan rakyat, insentif diskaun bayaran balik itu diperkenalkan.

Katanya, usaha murni ini adalah keprihatinan kerajaan ke atas peminjam PTPTN yang bersungguh-sungguh membayar balik pinjaman walaupun dalam keadaan ekonomi yang getir di selain memastikan PTPTN kekal mampan.

"Semoga insentif ini dapat membantu peminjam PTPTN di dalam membuat bayaran balik," katanya.

Bagi Jurutera Projek, Lingaiswaran Balasubramaniam, 34, insentif diskaun yang diberikan itu dapat mengurangkan beban peminjam.

Katanya pendidikan tinggi adalah sangat penting dalam era moden ini tetapi peminjam tidak mempunyai kewangan yang cukup dan mungkin ibu bapa kurang berkemampuan untuk membiayai pengajian.

Oleh itu, menurutnya dalam aspek ini, PTPTN memberi manfaat kepada peminjam.

"Insentif ini bagi saya sangat bagus tetapi biasanya selepas seseorang pelajar itu memulakan pekerjaan, gaji yang diperoleh tidak cukup untuk membayar habis pinjaman.

"Jadi, dengan inisiatif yang diberikan PTPTN ini, ia mengurangkan beban sekali gus membolehkan kita menyelesaikan tanggungjawab sebagai peminjam," katanya yang membuat bayaran balik sebahagian pinjaman dan kini membuat potongan gaji.

Lingaiswaran berkata PTPTN adalah agensi yang memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi dan memperoleh pendapatan yang lebih baik.

"Oleh itu, kita perlu berusaha atau mencari jalan bagi membayar balik pinjaman sebagai tanda terima kasih terhadap bantuan pinjaman pendidikan yang diterima.

"Pada masa sama, kita juga mempunyai keluarga yang perlu dijaga. Jadi, bila pinjaman PTPTN ini sudah selesai, kita mempunyai lebihan kewangan yang boleh digunakan untuk menyara keluarga,"katanya.

Bagi Dr Wong Chee Kong, 52, skim potongan gaji adalah langkah yang baik dalam memberi peluang kepada peminjam membuat pembayaran balik pinjaman mereka.

Menurutnya, dengan kadar potongan satu hingga lima peratus sebulan mengikut gaji peminjam, ia mungkin tidak akan terlalu membebankan sekali gus dapat menggalakkan mereka untuk membuat pembayaran.

"Membayar balik pinjaman PTPTN adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap peminjam.

"Dengan pembayaran balik pinjaman itu juga, kita memberi peluang kepada lebih ramai generasi muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan bantuan PTPTN.

Dr Wong berkata kepada peminjam yang merasa terbeban dengan bayaran balik PTPTN, itu tidak bermakna mereka terkecuali dalam membuat pembayaran balik.

"Mereka mungkin boleh mengambil langkah kecil dengan dapatkan maklumat lebih mengenai cara atau pelan pembayaran balik yang bersesuaian dengan keadaan mereka.

"Saya menyarankan peminjam datang sendiri ke cawangan PTPTN untuk mengetahui maklumat mengenai pembayaran balik yang boleh diaplikasikan mereka," katanya.

Sementara itu, guru, Raja Sarifah Raja Bongsu, 44, berasa lega dapat menyelesaikan baki pinjaman kerana kini dia sudah tidak ada tanggungan hutang terhadap PTPTN.

"PTPTN ini memberi memberi kemudahan atau bantuan kewangan kepada pelajar dari keluarga yang susah.

"Jadi, bila pinjaman itu tidak dijelaskan, ia akan memberi kesan bukan saja kepada PTPTN tetapi juga pelajar lain yang memerlukan.

Bagi peminjam yang mempunyai pendapatan tetap, katanya insentif yang diberikan sangat bagus dan ia juga adalah cara terbaik untuk mereka menyelesaikan hutang.

"Bagaimanapun, bagi yang tidak mempunyai pendapatan, keadaan tetap sama kerana mereka tidak mampu untuk membuat pembayaran balik, tetapi PTPTN boleh membuat rundingan semula untuk struktur pinjaman mengikut kemampuan peminjam.

"Kaedah ini mungkin mengambil masa yang panjang tetapi pembayaran itu boleh dilakukan secara konsisten. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit," katanya.

Untuk transaksi yang lebih mudah, cepat dan selamat, peminjam boleh muat turun aplikasi myPTPTN dan sebarang maklumat lanjut, layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

Peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui Careline PTPTN di 03 - 2193 3000 (beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang), Live Chat di www.ptptn.gov.my, e-Aduan di eaduan.ptptn.gov.my/ Eksekutif Pemasaran PTPTN di www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn dan media sosial rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 3:19 PM