PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama Tengku Zafrul menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023 selepas pembentangan Bajet 2023. FOTO Bernama
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama Tengku Zafrul menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023 selepas pembentangan Bajet 2023. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penyeragaman dan kenaikan Elaun Sara Hidup penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disifatkan tepat pada masanya ketika negara masih dalam fasa pemulihan ekonomi.

Pengerusi Pertubuhan Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa berkata, insentif itu dilihat dapat meringankan beban kos sara hidup masa kini.

"Saya menyambut baik usaha kerajaan ini kerana kita tahu kos sara hidup pelajar semakin meningkat apatah lagi dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

"Saya yakin penambah baikan ini diambil selepas kerajaan memahami kesulitan dialami pelajar kita," katanya.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam Bajet 2023 berhubung penyeragaman dan kenaikan kadar Elaun Sara Hidup tajaan JPA bagi pelajar dan pegawai dalam negara antara RM730 hingga RM980 sebulan.

Dalam pada itu, Zambri menyifatkan pengecualian dan diskaun bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga satu langkah baik bagi memastikan kelangsungan PTPTN.

"Kita melihat usaha kerajaan mengutip bayaran PTPTN melalui pemberian diskaun khas adalah satu usaha baik.

"Selain meringankan beban peminjam, langkah ini juga memastikan kemampanan PTPTN memberi pinjaman kepada pelajar baharu.

"Justeru, saya menyeru peminjam yang belum melunaskan pinjaman mereka supaya ambil kesempatan ini," katanya.

Terdahulu, Zafrul mengumumkan, pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada penuntut yang memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama.

Katanya, diskaun bayaran balik sebanyak 20 peratus diberikan untuk penyelesaian penuh, 15 peratus untuk 50 peratus baki hutang dan 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN ini berkuatkuasa bermula 1 November ini hingga 30 April 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 9:09 PM