GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikut Income Contingent Loan (ICL) yang dilaksanakan menerusi pemotongan gaji automatik melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah satu cadangan yang praktikal dan tidak membebankan peminjam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga Mei lalu jumlah pinjaman yang masih belum dibayar berjumlah RM66.9 bilion.

"Sekiranya jumlah ini dibayar ia boleh membiayai kira-kira 2.5 juta orang pelajar baharu," katanya melalui kenyataan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Penutupan Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri PendidikanTinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Mohammad Yusof Apdal.

Sebelum ini, Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) mencadangkan kaedah ICL diperkenalkan bagi pembayaran balik pinjaman PTPTN.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober sehingga 31 Mac 2024.

Anwar berkata, pemotongan gaji secara ICL ini tidak membebankan peminjam dan menyediakan insentif kepada individu dan majikan bagi membuat pembayaran balik selain akan menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab sivik mereka.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata, sepanjang tiga bulan 200 peserta mewakili pelbagai organisasi terbabit dalam pasukan NRC untuk mengadakan proses semakan meliputi penelitian ke atas pelbagai akta dan kerangka perundangan, kertas dasar, pelan strategikserta garis panduan yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.

Katanya, 874 isu dikenal pasti di peringkat awal dan 58 cadangan penambah baikan utama dibentangkan kepada pihak Kementerian namun masih belum dimuktamadkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 6:21 PM