FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang pengamal perubatan antara mangsa terbaharu sindiket penipuan apabila terpedaya sehingga mengalami kerugian RM1.3 juta.

Lelaki tempatan berusia 34 tahun itu menjadi mangsa kepada sindiket yang menawarkan penjualan kereta potong dari Singapura, namun perkhidmatan itu sebenarnya tidak wujud.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa dipercayai mula tertarik dengan iklan dipaparkan sindiket menerusi laman sosial Facebook pada akhir Julai lalu.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya menekan pautan iklan terbabit sebelum berinteraksi dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

"Mangsa ini dipercayai mungkin hendak memulakan perniagaan menjual alat ganti kenderaan, jadi dia mahu membeli kereta 'scrapped' dari Singapura.

"Dia tidak pernah berjumpa dengan penjual secara fizikal, hanya berhubung menerusi dalam talian," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Menurut Kamarul Zaman, mangsa kemudian membuat beberapa transaksi dengan memindahkan wang sejumlah RM1.3 juta ke akaun yang disyaki milik suspek bermula 1 hingga 19 Ogos lalu.

Katanya, mangsa mula menyedari dia ditipu apabila gagal menghubungi suspek, sebelum bertindak membuat laporan polis pada 20 Ogos lalu.

Sementara itu, Kamarul Zaman memberitahu, terdapat kes berasingan membabitkan seorang mekanik yang kerugian kira-kira RM240,000 apabila terpedaya dengan sindiket tiket loteri.

Beliau berkata, mangsa tertarik dengan janji sindiket yang menawarkan pulangan hadiah hampir RM500,000.

"Mangsa berusia 55 tahun dan dia dikatakan didatangi seorang lelaki pada Mei lalu yang mana lelaki itu menawarkan tiket loteri toto kononnya mangsa memenangi hadiah RM500,000.

"Jadi katanya, bagi mendapatkan hadiah itu, suspek memberitahu mangsa dia perlu membayar duit pendahuluan. Maka, mangsa melakukan beberapa transaksi menerusi akaun bank membabitkan wang RM240,000," katanya.

Kamarul Zaman berkata, mangsa membuat laporan polis kelmarin selepas menyedari dia ditipu apabila suspek menyekat talian telefon bimbit dan gagal dihubungi.

Pada masa sama, Kamarul Zaman memohon masyarakat membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat atau pun cadangan bagi membolehkan satu kaedah terbaik dibuat bagi menangani kes 'scammer' yang semakin menjadi-jadi.

"Kita tidak faham, kenapa masih ada lagi individu yang boleh tertipu dengan helah dan janji-janji palsu 'scammer' ini.

"Saya mohon beri cadangan kepada polis untuk sama-sama sedarkan masyarakat tentang isu ini supaya tiada lagi individu yang kehilangan wang begitu sahaja.

"Kita kena ingat dan jangan mudah percaya tentang pulangan atau hadiah-hadiah ditawarkan kerana tidak ada orang akan beri sesuatu secara percuma kepada kita tanpa balasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 5:01 PM