EMPAT warga asing OKU yang dijadikan pengemis selepas dieksploitasi dua lelaki warga tempatan, berjaya diselamatkan polis, semalam. FOTO Ihsan Polis
EMPAT warga asing OKU yang dijadikan pengemis selepas dieksploitasi dua lelaki warga tempatan, berjaya diselamatkan polis, semalam. FOTO Ihsan Polis
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis menahan dua lelaki tempatan yang juga dalang sindiket pemerdagangan orang, serta menyelamatkan empat warga asing orang kurang upaya (OKU) yang dijadikan pengemis sekitar bandar raya ini.

Kedua-dua lelaki berusia 39 dan 79 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua rumah di Taman Abad dan Taman Century di sini, menerusi Op Mega Pintas antara jam 8 malam hingga 11.45 malam, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka ditahan kerana disyaki terbabit dengan sindiket pemerdagangan orang iaitu eksploitasi pengemis warga China di sekitar bandar raya ini.

"Kita berjaya menyelamatkan masing-masing dua lelaki dan wanita warga China berusia antara 36 hingga 61 tahun yang juga OKU fizikal dan lumpuh.

"Dalam serbuan itu, kita turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama, dua kereta dan wang tunai berjumlah RM15,094," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki tempatan itu berperanan sebagai 'transporter' dan menyediakan tempat tinggal bagi mangsa yang diselamatkan.

"Soal siasat awal mendedahkan mangsa mampu mengutip sehingga RM500 sehari setiap orang dan mereka sudah mengemis di sekitar bandar raya ini sejak enam bulan lalu," katanya.

Kamarul Zaman berkata, dua suspek lelaki akan direman, manakala empat warga asing itu akan dipohon perintah perlindungan sementara.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 14 akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Pada masa sama, Kamarul Zaman berkata, polis Johor memandang serius kegiatan seumpama itu dan sentiasa menjalankan operasi bagi membanteras sindiket pemerdagangan orang.

"Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan ini, boleh terus menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau hubungi Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 9:06 PM