TAJUDDIN Abdul Rahman. FOTO Bernama
TAJUDDIN Abdul Rahman. FOTO Bernama
Maiamalina Mohamed Amin dan Suraya Roslan


AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyangkal dakwaan bahawa pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bergaji mahal sehingga 'membebankan' kerajaan.

"Ini fitnah, tohmahan berat dan jahat. Gaji saya sebagai Pengerusi Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) cuma RM8,000 saja," katanya menjelaskan dakwaan Akmal Nasir (PH-Johor Bahru) di Dewan Rakyat ketika perbahasan titah diraja.

Akmal sebelum itu mendakwa terdapat kira-kira 50 lantikan politik dalam GLC dengan purata gaji RM50,000, tidak termasuk elaun.

Dakwanya, kerajaan terpaksa membayar kos sebanyak RM25 juta setahun untuk bayaran itu.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, gaji Pengerusi Uda Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) juga RM8,000 sebulan.

"Tak ada hal, kita sangat telus. Saya sekarang sebut dua tak betul (kerana Akmal menyebut semua pengerusi GLC bergaji tinggi). Mungkin ramai lagi yang tak betul itu," katanya.

Tajuddin dilantik pengerusi Kumpulan Prasarana berkuat kuasa 11 Mei, menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim yang meletakkan jawatan pada 7 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 3:17 PM