MAS Ermieyati. FOTO NSTP.
MAS Ermieyati. FOTO NSTP.
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berharap laporannya berhubung kemajuan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dapat dibahas selepas dibentangkan di Dewan Rakyat, 9 Oktober depan.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC akan mengadakan lawatan kerja rasmi bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul pada 5 Oktober bagi memberi pencerahan berhubung laporan berkenaan.

Katanya, laporan berkaitan kemajuan projek pembinaan kapal peronda generasi kedua bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.

"Justeru, PAC berharap Tan Sri Johari mempertimbangkan supaya Laporan PAC berhubung Kemajuan Projek Pembinaan LCS ini dibahaskan di Dewan Rakyat selepas dibentangkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, selain laporan kemajuan LCS, terdapat tiga lagi Laporan PAC yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat, yang dijadual berlangsung dari 9 Oktober hingga 30 November.

Ia terdiri daripada Laporan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, yang dijadual dibentangkan pada 11 Oktober.

Selain itu, Laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Personal Protective Equipment (PPE) dan Laporan Menteri Kewangan (Diperbadankan)-FELCRA Berhad, yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian.

Bagi isu Pengurusan Wabak Covid-19, Mas Ermieyati berkata, PAC selesai mengadakan prosiding keempat, hari ini dengan memanggil beberapa individu memberi keterangan dan penjelasan.

Mereka ialah Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr Chen Chaw Min; Setiausaha Bahagian (Perolehan dan Penswastaan) KKM, Mohd Fauzee Abd Majid yang mewakili Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Norazman Ayob dan bekas Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk Farshila Emran.

"PAC berpuas hati dengan kerjasama semua saksi dan akan memasukkan keterangan serta penjelasan mereka dalam Laporan PAC berhubung isu ini untuk dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat," katanya.

Sementara itu, bagi prosiding Menteri Kewangan (Diperbadankan) – Felcra Berhad, Mas Ermieyati berkata, jawatankuasa sudah mendengar keterangan dan penjelasan dua bekas Pengerusi Felcra Berhad, iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Bung Moktar Raden pada 18 September lalu.

Katanya, ia berhubung isu organisasi korporat itu yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2: Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, PAC akan mengadakan prosiding seterusnya untuk isu ini bagi mendapatkan keterangan dan penjelasan daripada bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Datuk Dr Mohmad Isa Hussain dan syarikat WZR Group, iaitu kontraktor Menara Semarak 20 milik Felcra Berhad sebelum memuktamadkan laporan mengenai perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 3:00 PM