TAJUDDIN. FOTO Arkib NSTP
TAJUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bekerja seperti biasa dan menafikan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai medianya, Rozairi Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, Datuk Seri Tajuddin kini berada di pejabatnya di Menara Dato Onn, di sini, seperti biasa bagi melakukan kerja parti pada pagi ini.

"Beliau tidak ditahan dan berada di pejabat sejak jam 9 pagi hingga 11.30 pagi ini berada di pejabatnya di Menara Dato Onn untuk melakukan kerja-kerja parti termasuk mengadakan mesyuarat.

"Saya sendiri yang mengiringi beliau ke ibu pejabat Umno pagi ini" katanya kepada Harian Metro.

Ketika ditanya berhubung penahanan Datuk Seri Tajuddin semalam, Rozairi berkata, dia tidak dapat memastikan perkara berkenaan kerana tidak mengiringi Tajuddin.

Terdahulu, media melaporkan Tajuddin ditahan SPRM selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Tajuddin hadir bagi memberi keterangan berhubung siasatan menggunakan kedudukannya dalam operasi Prasarana.

Pada 26 Mei lalu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menamatkan perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif berkuat kuasa serta-merta.

Jurucakap Kementerian Kewangan berkata, penamatan perkhidmatan itu sudah dipersetujui oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Berita berkaitan

Tajuddin ditahan SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 3:14 PM