Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud memaklumkan pihaknya kini menunggu maklum balas daripada Pejabat Perdana Menteri bagi menyatakan tarikh mengadakan kunjungan hormat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Nassuruddin berkata, Perdana Menteri sudah menyatakan persetujuan sebelum ini untuk kunjungan hormat berkenaan.

"Sebelum ini sudah dua kali saya menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri dan saya sudah memaklumkan berhubung hasrat kita mengadakan kunjungan hormat.

"Perdana Menteri sudah menyatakan kesudian dan kini kita menunggu maklum balas daripada Pejabat Perdana Menteri untuk memberikan tarikh.

"Kita faham Perdana Menteri sibuk dan baru saja pulang dari luar negara dan kita akan menunggu tarikh yang akan ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Pondok Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta,

Mohd Asri Mat Daud.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 1:39 PM
MOHD Nassuruddin (tengah) bersama jemaah hadir pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Pondok Pasir Tumboh, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Nassuruddin (tengah) bersama jemaah hadir pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Pondok Pasir Tumboh, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar