Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Tangkapan terkini polis membabitkan kegiatan penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, pada 14 September lalu, mengesahkan bahawa perbuatan mencuri bahan itu masih berlaku di negeri ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dalam kejadian itu, polis berjaya menangkap sembilan penjenayah sehingga mereka dapat didakwa di Mahkamah Sesyen Baling semalam.

Katanya, pihak polis juga masih dalam proses siasatan kejadian kecurian REE yang berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, pada 21 Jun lalu, sebelum pendakwaan ke atas penjenayah dapat dilakukan.

"Syabas polis Kedah! Tangkapan bulan Jun masih dalam proses dilengkapkan siasatan. Belum terhenti. Tangkapan terbaharu mengesahkan kecurian masih berlaku.

"Pencuri tertangkap dan didakwa dan disabit kesalahan oleh mahkamah. Ada yang masih tunggu (untuk didakwa). Wujud elemen jenayah pemerdagangan orang dan jenayah terancang. Polis terus menyiasat (elemen jenayah)," katanya dalam kenyataan di laman sosialnya.

Pada masa sama, Saifuddin turut mempersoalkan kemungkinan wujud pembabitan pihak berkuasa di peringkat negeri, walaupun perkara itu dinafikan kerajaan negeri Kedah sebelum ini.

"Masih ada senarai yang dicari polis, tapi menghilangkan diri. Wujud pembabitan kerajaan negeri dan agensi di bawahnya? Sabar.

"Yang memilih untuk 'denial syndrome' saya tak upaya nak buat apa. Beza pendapat saya raikan. Maki hamun dan gelar keburukan, saya keluarkan," katanya.

Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) mengesahkan sembilan individu didakwa di Mahkamah Sesyen Baling, atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi pada 14 September lalu, disyaki menjalankan kegiatan penerokaan REE.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 12:47 PM