MUHAMMAD Sanusi. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerugian yang ditanggung kerajaan negeri akibat kegiatan perlombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik sudah diperolehi semula sebanyak RM630,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hasil berkenaan diperolehi daripada dua kompaun yang dikenakan terhadap seorang lelaki warga China yang melakukan kesalahan terbabit.

"Menerusi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kedah, Pejabat Pengarah Timbalan Pendakwaraya (TPR) mengeluarkan kompaun maksimum RM500,000 mengikut Seksyen 429B Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828). Kompaun itu sudah dijelaskan pada 11 Oktober lalu.

"Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) pula mengeluarkan kompaun sebanyak RM130,000 kerana kesalahan menceroboh hutan," katanya ketika menjawab soalan lisan Johari Abdul (PKR-Gurun) mengenai kecurian unsur nadir bumi di Bukit Enggang, Sik pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri mendapat nasihat agar kes terbabit dikenakan kompaun berbanding dibawa ke mahkamah.

"Ini kerana kompaun maksimum yang dikenakan akan masuk (duit) kepada kerajaan negeri atas kerugian yang ditanggung manakala apabila kes dibawa ke mahkamah maka duit denda itu akan masuk kepada kerajaan Persekutuan," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, unsur nadir bumi yang dirampas sebelum ini dianggarkan bernilai sebanyak RM391,360 mengikut nilai pasaran pada 30 September 2022 dengan anggaran RM35,257 setiap tan.

Bagaimanapun, katanya bahan berkenaan telah disita dan akan dilupuskan selepas mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut menafikan pembabitan Menteri Besar Incorporated (MBI) dalam sebarang aktiviti penerokaan dan perlombongan NR-REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Pengerusi MBI itu berkata, kerja-kerja penerokaan di kawasan berkenaan belum dimulakan memandangkan Kementerian Sumber Asli (KeTSA) belum mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

"MBI bekerjasama dengan syarikat Prospek Suria sebanyak 15 peratus dan syarikat berkenaan sebanyak 85 peratus diberi satu lot (melombong). Ya, ada kebenaran lesen (permit) menjelajah namun usaha sama itu masih belum berlaku dan tidak ada aktiviti (perlombongan) lagi kerana tunggu SOP.

"Yang curi dan sudah dituduh mencuri REE itu adalah seorang warga China. Yang bayar kompaun itu bukan nama Sobri Osman yang mengetuai MBI, " katanya menjawab soalan tambahan daripada Datuk Dr Ismail Salleh (Amanah-Pengkalan Kundor).

Muhammad Sanusi dalam pada itu turut menafikan kegiatan terbabit menyebabkan pencemaran sungai berikutan air yang digunakan di kawasan itu tidak mengalir masuk ke aliran sungai kerana terdapat sistem untuk mengalir balik air itu ke pam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 1:21 PM