ANGGOTA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia membantah tindakan pembakaran al-Quran di luar Kedutaan Sweden di Kuala Lumpur.
ANGGOTA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia membantah tindakan pembakaran al-Quran di luar Kedutaan Sweden di Kuala Lumpur.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Di zaman serba maju dengan teknologi di hujung jari, masih ada individu yang tergamak berkelakuan mundur dengan memainkan sentimen agama untuk meluahkan rasa tidak puas hati.

Tindakan seumpama itu jelas menunjukkan bahawa si pelaku meletakkan emosi melebihi akal hingga mencetuskan kemarahan seluruh dunia.

Tindakan ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm minggu lalu dilihat sebagai tindakan tidak matang dan keterlaluan.

Bernama melaporkan, tindakan itu diambil selepas Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, Turkiye yang juga ahli Nato selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan dan mendakwa kedua-dua negara itu menyokong kumpulan pengganas termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (Feto).

Tindakan sama diikuti Edwin Wagensveld yang mengetuai bahagian Belanda bagi kumpulan anti-Islam Jerman Pegida di mana dia mengoyakkan halaman al-Quran ketika protes seorang diri di luar Parlimen.

Berikutan itu, Turkiye menangguhkan rundingan keanggotaan Nato dengan Sweden dan Finland selepas Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengecam Stockholm kerana membenarkan protes hujung minggu yang termasuk pembakaran al-Quran.

Kementerian Luar Turkiye mengutuk 'perbuatan keji' ke atas al-Quran dan menyifatkan ia sebagai satu 'jenayah kebencian secara terang-terangan'.

Menurut kementerian itu 'membiarkan tindakan anti-Islam yang menyasarkan umat Islam dan menghina nilai-nilai suci kita dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara tidak boleh diterima sama sekali'.

Turkiye juga menyeru pihak berkuasa Sweden mengambil langkah yang perlu terhadap jenayah kebencian ini kerana perbuatan itu satu lagi contoh Islamofobia, gerakan perkauman dan diskriminasi di Eropah yang amat membimbangkan.

Sementara itu, Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan Islamofobia yang tidak boleh diterima akal dan provokatif itu menjejaskan sensitiviti agama lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Islamabad menggesa masyarakat antarabangsa bersama-sama menunjukkan azam menentang Islamofobia, xenofobia, sikap tidak bertoleransi dan hasutan kepada keganasan atas dasar agama atau kepercayaan dan bekerjasama untuk menggalakkan keharmonian meskipun berbeza pegangan agama.

Selain negara Islam, insititusi pendidikan paling berprestij dalam dunia Islam iaitu Al-Azhar di Mesir turut menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan dua individu berkenaan dan menggesa supaya produk Sweden dan Belanda diboikot.

Al-Azhar dalam kenyataan menyeru umat Islam memboikot produk Belanda dan Sweden serta menggesa tindak balas sewajarnya daripada kerajaan kedua-dua negara (Sweden dan Belanda).

Nada sama dapat dilihat di Malaysia di mana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan membakar buku atau teks agama termasuk al-Quran, Injil dan teks agama Hindu kerana rakyat Malaysia menghargai kemanusiaan dan menghormati hak setiap individu.

Anwar berkata, ada begitu banyak salah faham dan prasangka terhadap agama di seluruh dunia termasuk Islam.

Anwar turut meminta Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memanggil Duta Sweden dan menyampaikan perasaan jijik Malaysia terhadap toleransi perbuatan membakar al-Quran di negara mereka.

Semua pihak sedia maklum dengan kemarahan yang timbul berikutan Turkiye membantah penyertaan Sweden dan Finland ke dalam Nato. Namun apa yang sukar difahami adalah mengapa mengambil tindakan membakar kitab suci umat Islam?

Adakah pandangan dan bantahan Turkiye itu mewakili umat Islam seluruh dunia? Sudah pasti jawapannya tidak.

Rakyat marhaen pun tahu bezakan negara dan agama serta tahu letakkan akal mendahului emosi.

Jika marahkan Turkiye dan ajak penduduk Eropah boikot melancong ke Istanbul, kita faham jugalah.

Ini tidak, tindakan bakar al-Quran pula yang dipilih. Daripada hanya Turkiye yang marahkan mereka, kini semua negara Islam bersatu mengutuk Sweden.

Dari aspek hubungan diplomatik, tindakan itu sudah pasti menjejaskan hubungan Sweden dengan banyak negara termasuk Malaysia.

Mungkin duta Sweden ke negara Islam perlu kerja lebih masa minggu ini untuk memohon maaf dan menjelaskan keterlanjuran perangai rakyat mereka.

Apa yang berlaku ini perlu menjadi pedoman buat rakyat Malaysia supaya tidak meletakkan emosi melebihi akal.

Jika kita marahkan sesuatu pihak usah babitkan sentimen agama atau budaya kerana impaknya sangat buruk hingga melangkaui ke sektor ekonomi sesebuah negara.

Dalam kes Sweden ini, banyak pihak sudah mula mengajak boikot produk dari Sweden dan sudah tentu ada pihak bakal menanggung rugi.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 6:17 AM