Anggota bomba dalam usaha mengeluarkan mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Tanjung Bin, Permas Pontian. FOTO TOGI MARZUKI
Anggota bomba dalam usaha mengeluarkan mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Tanjung Bin, Permas Pontian. FOTO TOGI MARZUKI
Oleh Togi Marzuki


Pontian: Simpang empat tiada papan tanda mengundang musibah apabila seorang maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 11, Jalan Tanjung Bin Permas di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian jam 9.10 malam membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dan kereta Mercedes Benz.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kedua-dua kenderaan terbabit dari arah berlainan dan tidak menyedari simpang empat itu kerana tiada papan tanda dan garisan berhenti.

"Honda CRV dari arah Tanjung Bin ke pekan Permas, manakala Mercedes Benz dari arah Lorong Haji Sakyon ke Sakyon darat.

"Ketiadaan papan tanda di simpang itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit berlanggar di bahagian tepi dan kanan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, akibat kejadian itu pemandu Honda CRV yang juga lelaki berusia 42 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat yang lain termasuk dua wanita berusia 36 hingga 43 tahun cedera.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru turut bergegas ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum di hantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 1:55 PM