MOHD Kazim Elias. FOTO arkib NSTP
MOHD Kazim Elias. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pejabat Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang tidak pernah mengeluarkan arahan spesifik yang menghalang mana-mana individu menyampaikan kuliah di masjid atau surau di negeri ini, kata Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Katanya, setiap larangan yang dilakukan itu adalah berdasarkan garis panduan dan pekeliling dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

"Jadi, hanya pihak masjid dan pejabat agama daerah sahaja yang mengetahui larangan penceramah atau individu berkaitan dengan arahan pekeliling itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, JHEAIPP mengeluarkan satu pekeliling penstrukturan semula kuliah dan penganjuran aktiviti ilmu di masjid serta surau negeri ini.

Berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan pada 23 Oktober lalu itu, Pengarah JHEAIPP Datuk Zulkifli Rashid memaklumkan semua penceramah atau pengkuliah yang hendak menyampaikan pengajaran di semua masjid dan surau di Pulau Pinang mestilah memiliki tauliah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri ini.

Bagaimanapun, dalam masa sama penceramah dan pengkuliah yang dijemput itu tidak mempunyai kontroversi terutama berkaitan akhlak, masalah khilafiah, politik kepartian dan seumpamanya.

"Usaha itu dilakukan JHEAIPP bagi memastikan aktiviti majlis ilmu di negeri ini bebas daripada sebarang unsur yang boleh mendatangkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat serta membendung sebarang unsur negatif yang dibawa dari luar serta tidak sesuai dengan masyarakat di negeri ini.

"Selain itu, ia juga bagi memastikan semua masjid dan surau sentiasa fokus kepada budaya ilmu sebenar yang mengutamakan kualiti dan impak positif kepada jemaah dan masyarakat Islam," katanya menerusi pekeliling itu.

Terdahulu tular satu rakaman video memaparkan pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim memberi penjelasan kepada jemaah di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil di sini, semalam, mengenai penangguhan kuliah berikutan menerima arahan daripada pihak berkenaan.

Menerusi penjelasan itu, Ustaz Kazim berkata, kuliah berkenaan ditangguhkan kerana beliau tidak dibenarkan menyampai kuliah serta mengambil keputusan bagi tidak lagi mengajar di Pulau Pinang.

Berita berkaitan: 'Mulai hari ini, saya tidak akan beri kuliah di Pulau Pinang lagi' - Ustaz Kazim

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 2:50 PM