BERNAMA

Johor Bahru: Sebanyak 61 pusat pengundian dengan 362 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula 8 pagi ini, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram.

Ia membabitkan 47 pusat pengundian di Parlimen Pulai manakala 14 pusat pengundian di Dun Simpang Jeram dijadual ditutup pada 6 petang.

PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram, masing-masing akan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

Calon PH Suhaizan Kaiat, Zulkifli Jaafar (PN) dan Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas) akan berentap di kerusi Parlimen Pulai, manakala Nazri Abdul Rahman (PH), Dr Mohd Mazri Yahya (PN) dan S Jeganathan (Bebas) bakal merebut kerusi di Dun Simpang Jeram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 8:44 AM