BERNAMA

Johor Bahru: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang bermula 8 pagi tadi berakhir dengan kesemua 61 pusat mengundi ditutup sepenuhnya pada 6 petang ini.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 362 saluran iaitu 294 di Parlimen Pulai dan 68 di DUN Simpang Jeram, akan dibawa ke dua pusat penjumlahan undi seawal 7.20 malam sebelum keputusan rasmi diumumkan.

Penjumlahan undi bagi Parlimen Pulai dilakukan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini manakala bagi DUN Simpang Jeram ialah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata proses penjumlahan undi dijangka selesai seawal 8.30 malam.

Sementara itu, sebanyak 304 kertas undi pos turut dikeluarkan oleh SPR bagi PRK di kedua-dua kerusi.

FOTO BERNAMA
FOTO BERNAMA

Kira-kira 90 peratus atau 831 orang daripada 927 pengundi awal yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menunaikan tanggungjawab mereka pada 5 Sept lepas.

Mengikut data SPR, secara keseluruhan terdapat sejumlah 166,653 pengundi di Parlimen Pulai dan 40,379 pengundi di DUN Simpang Jeram.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Salahuddin menang di Parlimen Pulai dengan majoriti undi 33,174 manakala bagi DUN Simpang Jeram, beliau menang dengan majoriti undi sebanyak 2,399.

PRK di kedua-dua kerusi menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

Calon PH Suhaizan Kaiat, Zulkifli Jaafar (PN) dan Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas) berentap di Parlimen Pulai manakala Nazri Abdul Rahman (PH), Dr Mohd Mazri Yahya (PN) dan S. Jeganathan (Bebas) di DUN Simpang Jeram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 6:50 PM