FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Ipoh: Angkara menantu perempuan gagal menjelaskan pinjaman wang dari peminjam wang tanpa lesen, pasangan suami isteri bersama anak lelakinya hidup dalam ketakutan akibat diugut along.

Lelaki berusia 60 tahun dari Taman Bercham Indah mendakwa dia menyedari dua kereta milik anak lelaki dan isterinya serta pagar rumahnya disimbah cat merah kira-kira 9 pagi Ahad lalu ketika mahu keluar rumah.

Beliau yang juga seorang juruteknik berkata terdapat dua keping kertas dilekat di tembok pagar rumah yang tertera nama menantunya serta bertulisan amaran supaya melangsaikan segera hutang yang dipinjam.

"Selepas kejadian itu, saya menghubungi menantu yang bekerja di Singapura dan dia mengaku ada meminjam along.

"Bagaimanapun saya tidak pasti berapa jumlah yang dipinjamnya," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini hari ini.

Menurutnya, dia juga membuat laporan polis pada hari sama dan mengharapkan tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa.

"Saya tidak terlibat dengan pinjaman along dan bimbang sekiranya selepas ini terjadi perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 2:10 PM