GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Rafi Mamat


SEORANG kakitangan syarikat pengangkutan mendakwa kerugian lebih RM180,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan menggunakan nama bank untuk menipu dengan menawarkan pinjaman tidak wujud.

Mangsa berusia 39 tahun membuat laporan di Balai Polis Triang, Bera, semalam selepas merasakan dia tertipu kerana wang dipinjam berjumlah RM230,000 gagal diperoleh, sebaliknya wang sendiri pula lesap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan iklan pinjaman wang berlesen atas nama bank diiklankan melalui Facebook (FB).

Menurutnya, mangsa melayari laman sosial itu pada 27 Mei lalu dan berhasrat membuat pinjaman dengan meletakkan nombor telefon miliknya di ruangan komen iklan terbabit.

"Mangsa dihubungi empat individu dengan nama Daniel Ng Keng Fong, Kelvin, Mike dan Alfred yang menggunakan nombor telefon berbeza bagi urusan pinjaman itu.

"Sebelum pinjaman itu diluluskan, mangsa diminta membuat beberapa bayaran proses secara berasingan atas arahan empat suspek berkenaan," katanya di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, bagi memastikan pinjamannya diluluskan mangsa membuat bayaran melalui Daniel Ng Keng Fong berjumlah RM3,530, Kelvin (RM76,400) Mike (RM30,000) dan Alfred (RM70,300).

Beliau berkata, semua bayaran itu dibuat menggunakan akaun bank atas nama individu lain dan bukan atas nama suspek terbabit.

"Selepas semua bayaran dibuat, mangsa gagal mendapat wang dipinjam sedangkan jumlah bayaran bagi urusan itu hampir sama dengan jumlah ingin dipinjam.

"Susulan laporan polis dibuat mangsa semalam, kami membuka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pada masa sama kami sedang mengesan semua pemilik nombor telefon dan akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 4:16 PM