PROSES pemilihan penerima biasiswa, pelaksanaan, pemantauan prestasi pelajar dan penilaian keberkesanan  perlu dilakukan dengan teliti dengan mengambil kira semua aspek.
PROSES pemilihan penerima biasiswa, pelaksanaan, pemantauan prestasi pelajar dan penilaian keberkesanan perlu dilakukan dengan teliti dengan mengambil kira semua aspek.
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Usaha kerajaan untuk menumpukan pemberian biasiswa dan pendidikan sekolah berasrama penuh (SBP) kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 bersesuaian dengan matlamat asalnya.

Bagaimanapun, pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan merangkap Pengetua Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) dan Penyelidik Bersekutu Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Prof Madya Dr Mohd Mursyid Arshad berkata, ia masih perlu ada mekanisme pemantauan prestasi serta kemajuan pelajar yang lebih tersusun.

Menurutnya, perkara itu penting supaya inisiatif yang diberikan dapat meningkatkan motivasi bagi pelajar yang tinggal berjauhan dari sekolah.

Di samping itu, katanya, pihaknya yakin bantuan kerajaan dapat membantu pelajar menghadapi kesukaran akses ke sekolah dan mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan untuk terus belajar serta memperoleh pencapaian cemerlang dalam pengajian.

"Matlamat asal penubuhan asrama adalah menyediakan penginapan sepanjang pengajian yang kondusif dan selamat kepada pelajar kurang berkemampuan serta tinggal jauh dari sekolah.

"Saya berpandangan kemudahan asrama disediakan perlu selari dalam melahirkan modal insan yang cemerlang dan seimbang dari segi jasmani dan rohani.

"Jadi, dengan kewujudan asrama ini dapat menyokong kepada proses kurikulum dan memantapkan pembabitan kokurikulum, manakala proses pemilihan penerima biasiswa, pelaksanaan, pemantauan prestasi pelajar dan penilaian keberkesanan pula perlu dilakukan dengan teliti mengambil kira semua aspek," katanya.

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran, Fatin Hanani Mohd Ruzki, 34, menyambut baik hasrat kerajaan untuk memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 dalam memberi peluang kemasukan ke SBP serta biasiswa.

Menurutnya, dia amat berharap saringan dibuat bagi memastikan hanya individu yang layak dan menepati kriteria diterima masuk ke SBP selain tawaran biasiswa perlu adil kepada semua.

"Sebagai ibu bapa yang kurang berkemampuan, agenda kerajaan menerusi Ekonomi Madani sangat baik dalam membantu pelajar cemerlang mendapatkan pendidikan terbaik melalui pemberian biasiswa.

"Ini kerana ramai pelajar yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan kerana pendapatan ibu bapa rendah, jadi pemberian biasiswa tentunya meringankan beban mereka.

"Mereka (pelajar kurang berkemampuan) yang cemerlang juga mengharap peluang kemasukan ke SBP, tetapi amat menyedihkan apabila ada antara pelajar diterima masuk kerana kroni.

"Justeru, wajar untuk kerajaan memberi tumpuan kepada pelajar daripada golongan B40 demi masa depan mereka yang lebih cerah dan inisiatif itu perlu berterusan untuk kecemerlangan sejagat," katanya.

Manakala, bapa tiga anak dikenali sebagai Hanif, 37, berkata, pemberian biasiswa dan peluang kemasukan ke SBP untuk membantu pelajar B40 sangat baik untuk mereka yang benar-benar layak.

"Lazimnya, biasiswa hanya untuk pelajar terpilih saja dan tak semua akan dapat.

"Tiada masalah, cuma biarlah penerima benar-benar layak saja terima seperti inisiatif Yayasan Selangor dulu yang memberi peluang kepada anak kelahiran negeri memenuhi syarat kelayakan," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat mengumumkan hasrat kerajaan bahawa pemberian biasiswa dan pendidikan SBP akan ditumpukan kepada golongan berpendapatan rendah atau B40.

Menurut Anwar, perkara itu berasaskan prinsip keadilan sosial iaitu pemikiran mengenai hubungan yang adil dan saksama antara individu dan masyarakat.

Di bawah prinsip itu, setiap ahli masyarakat diberi peluang yang saksama dengan bantuan ditumpukan kepada golongan terpinggir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 8:01 AM