PHILIP (berdiri atas 12 dari kiri) bersama 101 penerima anugerah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik YBR baru-baru ini.
PHILIP (berdiri atas 12 dari kiri) bersama 101 penerima anugerah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik YBR baru-baru ini.
Suliati Asri


Yayasan Bank Rakyat (YBR) mengiktiraf dan meraikan kejayaan 101 graduan cemerlang ijazah sarjana muda dan sarjana institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan pada Majlis Kecemerlangan Akademik, baru-baru ini.

Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang dalam satu kenyataan berkata, melalui inisiatif ini YBR memperuntukkan RM101,000 sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang menamatkan pengajian dengan keputusan PNGK 3.50 ke atas bermula Julai tahun lalu.

Katanya, setiap graduan juga menerima ganjaran wang tunai RM1,000 secara 'one off' sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menunjukkan pencapaian membanggakan sepanjang tempoh pengajian.

"Anugerah Kecemerlangan Akademik yang diperkenalkan sejak 2015 ini adalah salah satu usaha YBR bagi menghargai dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai keputusan akademik terbaik serta menyokong agenda pendidikan negara dalam melahirkan modal insan mahir.

"Seramai 89 graduan dari peringkat ijazah sarjana muda manakala 12 graduan sarjana tersenarai sebagai penerima anugerah yang diharap dapat memberi dorongan serta memotivasikan graduan untuk lebih berjaya serta berbakti kepada bangsa dan negara," katanya.

Selain itu, Philip berkata, YBR juga menyediakan pelbagai peruntukan bagi pembangunan modal insan termasuk mengubah Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada biasiswa kepada pelajar tajaan yang mendapatkan keputusan cemerlang.

Dalam majlis sama YBR turut menyerahkan 25 komputer riba kepada pelajar cemerlang matrikulasi tajaan YBR dalam kalangan B40 untuk melanjutkan pengajian ke IPT.

Inisiatif ini adalah jalinan usaha bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) untuk memberikan suntikan semangat kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk belajar dalam suasana pembelajaran yang kondusif.

YBR menerusi program biasiswa YBR-BMKPM turut memperuntukkan biasiswa kepada 25 pelajar matrikulasi terpilih yang meliputi elaun sara diri, elaun buku, pemberian komputer riba serta Bantuan Awal Pengajian (BAP).

Sementara itu, penerima anugerah yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan PNGK 3.92, Faridah Hamimi Mohammad Nizam, 26, berkata, pendidikan mampu meningkatkan taraf hidup seseorang.

"Kesungguhan dan keazaman untuk mendapatkan keputusan cemerlang menjadi matlamat utama di sepanjang pengajian.

"Anugerah yang saya terima ini adalah rezeki hasil usaha dan doa yang tidak pernah putus," katanya.

Jasmine Hamdan, 29, yang mengambil jurusan Ijazah Falsafah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan PNGK 4.00 pula berkata, semangat tidak putus asa serta keinginan untuk berjaya adalah elemen penting kepada kejayaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 6:50 AM