Kabindren
Kabindren
OMAR Mohamad
OMAR Mohamad
NUR Edrina Syafiqah
NUR Edrina Syafiqah
NAZARUDIN
NAZARUDIN
OMAR Kasim
OMAR Kasim
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Banyakkan peluang pekerjaan, kawal harga rumah dan mengurangkan kos sara hidup. Itu saranan orang ramai yang mahu kerajaan memberi tumpuan lebih kepada tiga perkara berkenaan menjelang Bajet 2017 yang bakal dibentang Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak, Jumaat ini.

Pesara kerajaan, Omar Kasim, 60, berkata, harga rumah yang naik mendadak membuatkan golongan berpendapatan rendah tidak mampu memiliki rumah atas tanah dan hanya mampu ‘bermimpi’.

“Kami hanya mampu beli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) saja. Malah, kebanyakan penduduk bandar kini berpindah ke luar bandar berikutan tidak mampu membeli rumah pada harga mampu milik.

“Malah, kami harap pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dikekalkan kerana golongan berpendapatan rendah sangat memerlukan wang dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya.

Bagi tukang jahit, Nazarudin Omar, 51, dia berharap kerajaan mengawal dan memperketatkan sistem pemberian kedai sewa bagi membendung warga asing berniaga.

“Terus terang saya katakan, perniagaan di Lembah Klang kini dimonopoli warga asing, sebagai peniaga saya turut terkesan dengan kebanjiran pendatang ini,” katanya.

Warga emas, Omar Mohamad, 60, berkata, kerajaan perlu memperbanyakkan peluang pekerjaan terutama bagi golongan muda walaupun kini berdepan ekonomi lembap.

“Terlalu banyak peluang pekerjaan dibolot warga asing menyebabkan golongan muda kini ramai menganggur walaupun mempunyai kelayakan diploma dan ijazah,” katanya.

Pelajar swasta, C Kabindren, 19, berkata, dia berharap kerajaan meneruskan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai bukti keprihatinan dalam melahirkan modal insan berkualiti, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

“Sebagai pelajar, kebanyakan kami datang daripada keluarga kurang berkemampuan, malah saya akui sesetengah pelajar sangat memerlukan biasiswa untuk menyambung pelajaran.

“Saya harap semua pelajar mendapat hak sama rata melanjutkan pembelajaran tidak kira bangsa dan agama masing-masing,” katanya.

Bagi Nur Edrina Syafiqah Abd Aziz, 19, pula dia berharap Bajet 2017 kali ini menitikberatkan pelajar yang tidak mampu meneruskan pembelajaran.

“Ada segelintir pelajar tidak cukup wang hingga ada sesetengah kami tidur di surau berikutan tidak mampu menyewa rumah.

“Hal ini sepatutnya tidak berlaku jika semua pihak prihatin, saya harap ada peruntukan khas membantu pelajar kurang berkemampuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 3:39 PM