KAMARUL Zaman (kiri) meninjau proses pengundian awal di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
KAMARUL Zaman (kiri) meninjau proses pengundian awal di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis Johor menerima 28 laporan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua laporan itu, membabitkan kesalahan merosakkan bahan kempen selain isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja).

"Setakat ini, keseluruhan laporan kita terima berkaitan kesalahan merosakkan bahan-bahan kempen seperti bendera dan kain rentang," katanya ketika ditemui selepas meninjau proses undi awal di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua (W2) Johor di sini, hari ini.

Menurutnya, dua kertas siasatan sudah dibuka pihaknya, manakala dua lagi kertas siasatan dibuka Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Mengenai pengundian awal, Kamarul Zaman berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal yang berlangsung di PPM W2 Johor dan Balai Polis Kempas, hari ini.

Katanya, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan berharap situasi itu berlanjutan sehingga pusat pengundian tutup pada 5 petang.

Dalam perkembangan lain, katanya, Polis Johor akan menambah keanggotaan trafik bagi melancarkan lalu lintas sempena hari mengundi pada Jumaat ini.

Katanya, polis bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk kelancaran di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dengan semua kaunter Imigresen akan dibuka bagi melancarkan perjalanan pulang pengundi yang bekerja di Singapura.

"Mungkin bermula Khamis atau Jumaat, akan berlaku peningkatan jumlah kenderaan ke negeri ini dan kita akan menambah kekuatan bagi memastikan trafik terkawal.

"Di BSI, kita ada lebih 200 anggota polis dan 60 anggota trafik, jadi kita akan tambah anggota trafik di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 12:53 PM