FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menjangkakan peningkatan pengembara di dua pintu masuk utama Johor-Singapura iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pada hujung minggu ini sempena cuti umum Tahun Baru Cina serta cuti sekolah.

Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, berdasarkan cuti umum Tahun Baru Cina tahun lalu, 348,693 pengembara direkodkan masuk menerusi dua pintu utama itu pada 20 dan 21 Januari 2023.

Malah, katanya, statistik kemasukan pengembara dari Singapura ke Johor menerusi BSI dan KSAB setakat 31 Januari lalu mencatat lebih 5.2 juta pengembara.

"Kami ambil beberapa inisiatif untuk membantu mengurangkan kesesakan dan melicinkan aliran kemasukan pengembara ke Malaysia sepanjang tempoh berkenaan.

"Antaranya pembukaan kaunter pemeriksaan Imigresen di BSI dan KSAB di semua lokasi pemeriksaan kereta, motosikal dan dewan bas secara optimum, tidak termasuk yang dalam proses selenggara.

"Kami akan meneruskan pelaksanaan 'Quick Response Team' (QRT) bagi menangani kesesakan di BSI dan KSAB," katanya.

Menurut Baharuddin, selain itu, laluan kontra bas di BSI juga akan mengurangkan masa menunggu sebanyak 50 peratus.

Katanya, 32 kaunter manual serta 26 kaunter automatik turut dibuka.

"Bagi melancarkan aliran trafik di BSI dan KSAB, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Rela dan Bahagian Penguatkuasa JIM juga akan membantu.

"Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga bersedia menempatkan pegawainya secara penuh di semua laluan pemeriksaan penumpang masuk dan keluar. Laluan pemeriksaan kargo akan dibuka sepenuhnya sebagaimana keperluan operasi pada tempoh terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 1:34 PM