Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Taktik sebuah premis menjual telefon bimbit dijadikan tempat penyimpanan bekalan mercun untuk Tahun Baru Cina terbongkar dalam serbuan di Taman Mutiara Mas, Skudai, di sini, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, polis berjaya menemukan 250 kotak mengandungi 16 jenis mercun dan bahan letupan bernilai RM350,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua mercun itu disembunyikan dalam bilik stor di belakang kedai telefon bimbit berkenaan.

"Sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya membongkar sindiket pengedaran mercun untuk Tahun Baru Cina itu selepas tiga minggu membuat risikan.

"Dalam serbuan itu, kita berjaya menemui 250 kotak yang dilabel mercun Happy Boom, namun selepas ia diperiksa lebih lanjut ia mengandungi 16 jenis mercun dan bahan letupan berbahaya yang tidak dibenarkan dijual di pasaran negara ini.

Kamarul Zaman menunjukkan antara barang rampasan iaitu mercun dan bahan letupan yang bernilai RM 350 ribu di Markas Tektikal Polis Marin Wilayah Dua Johor, Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Kamarul Zaman menunjukkan antara barang rampasan iaitu mercun dan bahan letupan yang bernilai RM 350 ribu di Markas Tektikal Polis Marin Wilayah Dua Johor, Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

"Menerusi serbuan khas sempena Tahun Baru Cina itu juga, seorang lelaki berusia 48 tahun yang dipercayai penjaga premis berkenaan turut berjaya ditahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Taktikal PPM Wilayah Dua, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, suspek yang ditahan itu direman tiga hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000, atau keduanya sekali.

"Polis kini sedang mengesan ahli sindiket lain yang menjadi dalang pengedaran mercun berbahaya berkenaan di bandar raya selain dari mana bekalan dibawa masuk.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh disalurkan kepada Komander PPM Wilayah Dua di talian 07-2372222 atau 07-2376122," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 1:15 PM