AMIRA Aisya Abd Aziz. FOTO arkib NSTP
AMIRA Aisya Abd Aziz. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka berpandukan kepada segala proses siasatan dan undang-undang yang teratur serta berdasarkan kepada kuasa yang termaktub di dalam Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

JPPM berkata, pihaknya menegaskan kenyataan Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz mengenai dakwaan beliau disenarai hitam daripada memegang sebarang pertubuhan berdaftar adalah tidak tepat.

Menurutnya, JPPM ingin menjelaskan bahawa tindakan yang dikeluarkan ke atas beliau adalah berikutan pembatalan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka (No. Pendaftaran: PPM002-10-03112017) melalui Notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 13(1)(c)(iv)

pada 28 Oktober 2022 oleh Pendaftar Pertubuhan.

"Tindakan itu juga mengikat beliau mengikut Seksyen 49 dalam akta yang sama.

"Sehubungan itu, JPPM ingin menegaskan bahawa tindakan yang dikeluarkan ini adalah berpandukan kepada segala proses siasatan dan undang-undang yang teratur serta berdasarkan kepada kuasa yang termaktub di dalam Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Amira mendakwa pada 19 Oktober tahun lalu melalui surat, Jabatan Insolvensi Negeri Selangor memaklumkan bahawa Pendaftar Pertubuhan pada 28 September tahun lalu membatalkan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka, dan mengarahkan beliau serta ahli jawatankuasa lain untuk mengemukakan dokumen persatuan itu.

Amira dipetik berkata, walaupun dia tidak bersetuju dengan pembatalan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka, namun dia dan ahli lain bekerjasama dengan pihak berkuasa insolvensi negeri dan tidak membuat sebarang rayuan berhubung perkara itu atas sebab kewangan, logistik dan lain-lain.

"Senarai hitam itu melanggar hak asasinya untuk menubuhkan persatuan berdasarkan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh kerana keputusan ROS menyenarai hitam pemohon, saya telah dihalang untuk tempoh masa yang tidak dinyatakan daripada memegang sebarang jawatan dalam mana-mana pertubuhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 2:08 PM