LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Siti A’isyah Sukaimi


JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis terhadap tiga pertubuhan susulan disyaki menghadiri Majlis Peringatan Perjanjian Damai Hatyai anjuran Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang, Selangor pada 1 Disember lalu.

Menerusi kenyataan JPPM, pihaknya menerima maklumat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai sembilan pertubuhan yang disyaki menghadiri majlis berkenaan.

“Daripada sembilan pertubuhan yang disyaki, JPPM mengenal pasti tiga pertubuhan berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

“Bagi tujuan itu, JPPM sudah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis mengikut Seksyen 66, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] supaya ahli jawatankuasa pertubuhan berkenaan hadir ke jabatan untuk memberi keterangan berkaitan pembabitan pertubuhan dalam majlis peringatan itu,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, enam lagi pertubuhan yang turut dikenal pasti terbabit dalam majlis peringatan berkenaan adalah pertubuhan yang tidak berdaftar.

Katanya, ia disifatkan sebagai ‘Pertubuhan Yang Menyalahi Undang-Undang’ mengikut Seksyen 41(1)(b), Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan mengikut Seksyen 43 Akta sama yang menyatakan mana-mana orang didapati menjadi anggota sesuatu pertubuhan menyalahi undang-undang adalah melakukan suatu kesalahan yang sekiranya disabitkan boleh dijatuhkan hukuman penjara.

“Adalah diingatkan setiap pertubuhan berdaftar hendaklah menjalankan aktiviti dan urusannya mengikut peruntukan perlembagaan berdaftarnya serta Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

“JPPM sebagai sebuah jabatan yang menguat kuasa Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335], adalah menjadi tanggungjawab jabatan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pertubuhan yang melanggar Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335],” katanya.

Rabu lalu, Harian Metro melaporkan, sembilan persatuan dikenal pasti terbabit dalam penganjuran majlis peringatan ke-30 Perjanjian Hatyai 1989 di Kajang.

Malah, polis mengenal pasti empat individu yang berucap pada majlis itu, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek Ronnie Liu; pengarang Persatuan Persahabatan Abad ke-21; wakil PKM dan wakil Persatuan Kawan Karib Sarawak.

Berita berkaitan

Perhimpunan PKM: Sembilan persatuan terbabit

Ronnie Liu beri keterangan

Polis siasat himpunan bekas ahli PKM

Kesan siapa dalang - NGO

Saya pun risau - Muhyiddin

Hadir atas dasar peribadi - ADUN Sungai Pelek

400 termasuk bekas ahli PKM bertemu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 7:59 PM