KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 13 Jun untuk mendengar permohonan kerajaan bagi membatalkan saman pemula yang difailkan oleh Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) berhubung pembatalan pendaftaran persatuan itu.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin berkata, tarikh itu ditetapkan pada prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Lee Ka Full secara dalam talian hari ini.

"Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menerusi aplikasi Zoom," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Menteri Dalam Negeri, Menteri Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga keempat memfailkan permohonan itu pada 11 Disember 2023.

Ia dibuat atas alasan antaranya tindakan Hindraf memfailkan saman pemula pada 3 November 2023 iaitu tiga hari sebelum pendengaran semakan kehakiman adalah penyalahgunaan proses mahkamah.

Selain itu, deklarasi yang dimohon Hindraf adalah bersifat akademik kerana tiada sebarang relif berkenaan kesahan keputusan pembatalan pendaftaran persatuan tersebut oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Menteri Dalam Negeri.

Pada 3 November 2023, Pengerusi Hindraf P Waytha Moorthy memfailkan saman pemula antaranya mendakwa pembatalan pendaftaran persatuan itu oleh responden pertama dan kedua di bawah Sekyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 adalah tidak sah serta tidak berperlembagaan kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memohon mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan antaranya sama ada Sekyen 13(1)(c)(iv) adalah tidak berperlembagaan dan tidak selaras dengan Perkara 4.

Waytha Moorthy juga mendakwa pembatalan Hindraf di bawah seksyen itu adalah salah dan tidak berperlembagaan kerana tiada apa-apa unsur yang bercanggah dengan kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral sepertimana yang diperuntuk di bawah Perkara 10(2)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Hindraf terhadap Ketua Pengarah RoS dan Menteri Dalam Negeri berhubung pembatalan pendaftaran persatuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 7:19 PM