Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh
Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengucapkan tahniah kepada Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh atas pelantikan sebagai Peguam Negara berkuat kuasa mulai 6 September ini.

SPRM dalam kenyataan hari ini, yakin Ahmad Terrirudin akan terus menyumbang kepakaran berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang undang-undang bagi melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai Peguam Negara.

"Justeru itu, SPRM mengalu-alukan pelantikan beliau dan berharap dapat meneruskan jalinan kerjasama baik dengan Pejabat Peguam Negara ke arah menjadikan Malaysia negara bebas rasuah," katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, membuat pengumuman perlantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September ini.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pelantikan Ahmad Terrirudin selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara sekali gus mengembalikan kedudukan lantikan jawatan itu dalam kalangan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 8:15 PM