Fazrik Kamarudin


EMPAT wakil daripada 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir ke Istana Negara kira-kira 9 pagi untuk menzahirkan kepatuhan mereka kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memperkenan lantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Walaupun beberapa jam sebelum itu tular satu pesanan menerusi Whatsapp yang dihantar kepada media mendakwa ada demonstrasi membantah pelantikan Thomas akan diadakan di pintu utama Istana Negara, mereka berkata akur dengan lantikan berkenaan.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Biru Ber’1’ Abata Malaysia (BER’1’ ABATA), Zahlan Ridzuan berkata, keputusan untuk melakukan demonstrasi itu dibuat sebelum berita mengenai lantikan Thomas tersebar di portal berita.

BEBERAPA Pertubuhan Bukan Kerajaan NGO  berkumpul di pintu masuk hadapan Istana Negara bagi menyatakan pendirian akur kepada titah Yang Dipertuan Agong atas perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. FOTO Aswadi Alias
BEBERAPA Pertubuhan Bukan Kerajaan NGO berkumpul di pintu masuk hadapan Istana Negara bagi menyatakan pendirian akur kepada titah Yang Dipertuan Agong atas perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. FOTO Aswadi Alias

“Keputusan untuk berdemo dibuat sebelum Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai kedudukan Peguam Negara.

“Selepas media melaporkan keputusan sudah dibuat pada awal pagi tadi, kami wakil NGO mengadakan perbincangan dan kami sepakat untuk akur dengan keputusan Tuanku.

“Kami tidak mahu dilabel sebagai menderhaka jika membantah keputusan itu, maka kami sepakat untuk memberi fokus kepada perkara lain yang lebih membimbangkan seperti mampukah kerajaan menunaikan janji manifesto mereka,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sebelum itu, pihak media berkumpul seawal 7 pagi di hadapan pintu masuk Istana Negara selepas menerima satu jemputan mengadakan liputan demonstrasi membantah pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara.

Menerusi pesanan itu, demonstrasi akan diadakan pada 8 pagi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 11:15 AM