Datuk Almalena Sharmila Johan (kiri) dan Datuk Suzana Atan (kanan). FOTO AGC
Datuk Almalena Sharmila Johan (kiri) dan Datuk Suzana Atan (kanan). FOTO AGC
BERNAMA

Kuala Lumpur: Peguam Cara Negara II Datuk Almalena Sharmila Johan dilantik sebagai Peguam Cara yang baharu berkuat kuasa 2 Oktober ini.

Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dalam kenyataan hari ini berkata Datuk Suzana Atan pula dilantik sebagai Peguam Cara ll bagi menggantikan Almalena, berkuat kuasa tarikh sama.

"Pelantikan itu selaras dengan Arahan Pertukaran Pegawai Undang-Undang Bilangan 107 dan 108 Tahun 2023. Seluruh warga Jabatan Peguam Negara mengucapkan tahniah atas pelantikan ini," menurut kenyataan itu.

Almalena, yang sebelum ini Ketua Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara dilantik sebagai Peguam Cara bagi menggantikan Ahmad Terrirudin, yang memulakan tugas secara rasmi sebagai Peguam Negara pada 6 September lalu.

Sebelum ini, Almalena, yang mewakili Jabatan Peguam Negara, bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Duta Besar Malaysia ke Sepanyol Datuk Akmal Che Mustafa; telah berlepas ke Madrid, Sepanyol, berhubung isu tuntutan Kumpulan Sulu.

Suzana pula adalah Peguam Kanan Persekutuan yang mengendalikan kes-kes sivil, dan petisyen pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 4:49 PM