Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Pelantikan Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh adalah sesuai dan tepat untuk membawa kesinambungan tugas seorang Peguam Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Ahmad Terrirudin adalah orang kedua selepas Peguam Negara sebelum ini yang mempunyai kepakaran dalam sektor perundangan.

"Beliau adalah orang dalam Jabatan Peguam Negara, beliau Peguam Cara 1, maknanya beliau seorang yang profesional.

"Saya yakin pelantikannya adalah tepat kerana kita melihat ini sebagai lantikan dalaman Jabatan Peguam Negara yang memang terdiri daripada peguam pakar daripada pengkhususan yang mewakili kepentingan negara dalam sektor perundangan.

"Beliau adalah orang nombor dua kepada Peguam Negara yang akan bersara pada Isnin ini. Jadi, beliau orang yang sesuai," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perjumpaan Khas Bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di Taman Dahlia di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat dakwaan Pemuda Umno tentang kebocoran dokumen memo dalaman Jabatan Peguam Negara.

"Kalau dia (Pemuda Umno) kata nak buat laporan polis atau laporan ke SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), tak mengapalah, biarlah agensi berkaitan siasat," katanya ringkas.

Datuk Seri Azalina Othman Said menghadiri Perjumpaan Khas Bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di Taman Dahlia di sini, malam tadi. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Datuk Seri Azalina Othman Said menghadiri Perjumpaan Khas Bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di Taman Dahlia di sini, malam tadi. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 12:55 AM