GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang disyaki didera di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang di sini, akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Turut akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini adalah kenalan wanita itu yang dipercayai seorang wanita berperwatakan lelaki (tomboi).

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kedua-dua suspek itu akan didakwa di mahkamah, kira-kira jam 9 pagi.

"Esok akan diadakan pertuduhan terhadap kes penderaan membabitkan kanak-kanak di Pasir Gudang," katanya.

Sabtu lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki menjadi mangsa dera kepada dua wanita yang mana seorang daripadanya dipercayai ibu kandungnya.

Kejadian menimpa kanak-kanak itu terbongkar selepas jiran di kawasan perumahan berkenaan menyerbu rumah diduduki dua beranak itu bersama kenalan ibu mngsa.

Difahamkan, ibu kanak-kanak berkenaan adalah ibu tunggal berusia 27 tahun, manakala kenalannya adalah tomboi yang juga warga asing berusia 30 tahun.

Video menunjukkan insiden orang awam menyerbu rumah berkenaan bagi menyelamatkan mangsa tular di media sosial yang turut memaparkan kecederaan agak teruk di bahagian belakang badan kanak-kanak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 10:14 PM