TIMBALAN Menteri Besar Kelantan dan juga Calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Pachor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Panji, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TIMBALAN Menteri Besar Kelantan dan juga Calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Pachor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Panji, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan tidak menjadi sebarang masalah sekiranya namanya digugurkan sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Panchor itu berkata, beliau akan menjadi wakil rakyat seperti biasa sebagaimana ketika beliau bermula sebelum ini.

"Saya tidak ada masalah kerana saya pernah datang kosong sebelum ini. Tidak ada jawatan, saya jadi wakil rakyat biasa dan kembali kepada asal.

"Sebelum ini pun saya tidak pernah meminta jawatan. Namun jika saya dilantik, itu adalah keputusan parti dan kita terpaksa terima," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Panji, di sini, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar baharu dengan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan itu, jika menang PRN esok.

Susulan itu, Menteri Besar sekarang, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dijangka tidak dilantik semula memegang antara dua jawatan berkenaan kerana kedua-duanya golongan agamawan.

Katanya, gabungan kepimpinan di Kelantan membabitkan tokoh agamawan dan tokoh teknokrat itu tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 9:44 AM