DR Mohamed Fadzli dan Datuk Mohd Nassuruddin
DR Mohamed Fadzli dan Datuk Mohd Nassuruddin

Kuala Lumpur: Pas perlu membuktikan parti itu dapat menonjolkan pemimpin progresif dan dinamik sebagai menteri besar Kelantan yang baharu selepas negeri itu cemerlang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin.

Penganalisis Politik dan Penasihat Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, calon menteri besar mesti mempunyai ciri-ciri khas seperti mampu memperkenal dan melaksanakan dasar terbaik kepada rakyat negeri itu.

Menurutnya, peneraju negeri itu juga umpama arkitek aspek pembangunan yang dapat memberikan manfaat kepada kesejahteraan rakyat.

"Apa pun, menteri besar mestilah dapat menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang mereka, walaupun Pas menang besar di Kelantan.

"Juga penting, calon menteri besar mestilah mempunyai pemikiran yang bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat demi rakyat," katanya.

Beliau berpandangan antara yang dilihat memiliki ciri-ciri itu adalah Dr Mohamed Fadzli Hassan yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Temangan dan Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang menang di kerusi Dun Meranti.

Untuk rekod, Mohamed Fadzli sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri manakala Mohd Nassuruddin pula adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri.

Mohamed Fadzli adalah calon dari golongan teknokrat manakala Mohd Nassuruddin adalah calon dari golongan agamawan.

Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata isu siapa Menteri Besar Kelantan hangat diperkatakan dalam tempoh kempen PRN tetapi ia bagaikan tidak memberi kesan kepada penyokong Pas.

"Hakikatnya percaturan dalaman Pas itu ada kumpulan yang mahu mengekalkan strategi Pas dikuasai oleh ulama.

"Ada yang mahu pembaharuan dalam Pas kerana parti itu hendak menjadi Kerajaan Persekutuan kelak, mereka kena hebat di peringkat nasional. Itu hujah dikatakan dari kumpulan profesional.

"Tetapi dalam hal jawatan menteri besar ini, Pas Kelantan atau negeri Kelantan ada jawatan timbalan menteri besar.

"Jadi kemungkinan saya lihat menteri besar masih akan dikuasai oleh kumpulan ulama dan timbalan menteri besar diberi kepada yang mewakili profesional atau teknokrat.

"Jadi ini boleh meredakan sedikit ketegangan dalam kemenangan Pas yang besar di Kelantan," katanya.

Azmi berkata, antara kriteria terpenting perlu ada dalam menteri besar Kelantan dan Exconya adalah sikap komunikasi terbuka antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berpandangan inilah peluang terbaik bagi Pas untuk mempamerkan bahawa apa yang dilakukan bukan semata-mata kepada kepentingan parti tetapi untuk kepentingan penduduk Kelantan.

"Semasa kempen memang boleh retorik sebagai contoh anti Kerajaan Persekutuan, itu adalah masa kempen yang boleh meraih simpati pengundi.

"Tetapi selepas kempen, perlu rasional dan pragmatik kerana banyak kemudahan asas adalah di bidang kuasa serta kemampuan Kerajaan Persekutuan.

"Jadi kena tukar sikit retorik itu semasa bekerja menjadi kerajaan negeri. Sama juga Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang retoriknya lain, semasa jadi Kerajaan Persekutuan pula ada retoriknya lain pula," katanya.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Kelantan dijangka mempunyai menteri besar atau timbalan menteri besar baharu menerusi gabungan agamawan dan teknokrat.

Gabungan kepemimpinan di Kelantan membabitkan tokoh agamawan dan teknokrat itu tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

PRN pada Sabtu menyaksikan Perikatan Nasional (PN) yang Pas turut berada dalam gabungan itu memenangi 43 daripada 45 kerusi Dun di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 12:09 PM