AHMAD Yakob. FOTO arkib NSTP
AHMAD Yakob. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pas menyatakan penghargaan dan berterima kasih kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Kenyataan penghargaan itu dibuat selepas beberapa jam Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar baharu dengan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan itu jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

"Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Datuk Ahmad Yakob dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah atas jasa dan sumbangan sepanjang 10 tahun membangunkan Kelantan.

"Pelbagai pencapaian sudah diperoleh kerajaan negeri dan dinikmati oleh rakyat Kelantan.

"Dalam tempoh 33 tahun ini, Pas Kelantan berjaya membuktikan bahawa dasar Islam mampu memandu sebuah kerajaan.

"Semoga diberkati dan terus menyumbang kepada kemajuan Kelantan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Takiyuddin mengumumkan Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar baharu berikutan keputusan Pas mencadangkan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan itu jika menang PRN esok.

Susulan itu, Menteri Besar sekarang, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dijangka tidak dilantik semula memegang antara dua jawatan berkenaan kerana kedua-duanya golongan agamawan.

Katanya, gabungan kepimpinan di Kelantan membabitkan tokoh agamawan dan tokoh teknokrat itu tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 6:27 PM