BERNAMA

Georgetown: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua di Seri Mutiara di sini, pagi ini.

Chow, 65, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Kota, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 9 35 pagi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang Datuk Mohd Sayuthi Bakar serta barisan pimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) negeri.

Chow, yang sebelum ini pernah diumumkan menjadi calon Ketua Menteri oleh PH jika parti itu memenangi pilihan raya, akan mengetuai Kerajaan Negeri Perpaduan setelah gabungan PH-BN itu memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Beliau memperoleh 8,261 undi dengan majoriti 7,116 menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) H'ng Khoon Leng yang mendapat 1,145 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 10:34 AM